Siapa sangka gadis kecil molek ini punya cita -cita besar untuk menawan dunia dalam bidang sukan.

Minatnya dalam bidang ini bermula sejak zaman kanak-kanak lagi apabila sering mewakili sekolah dalam acara bola baling ketika peringkat rendah.

Bagaimanapun, melihatkan pencapaiannya kurang menyerlah dalam bola baling, pelajar tingkatan empat, Puteri Zurainie Juraimi akhirnya memilih untuk aktif dalam sukan memanah pula.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11, Shah Alam mula berjinak-jinak dengan sukan memanah sejak di sekolah rendah lagi, walaupun tidak pernah mewakili sekolah dalam sukan itu.

“Ketika diterima memasuki sekolah sukan ini saya nekad untuk serius dalam sukan memanah kerana saya nampak boleh pergi jauh dalam sukan ini,” katanya.

Menurutnya yang mesra dengan panggilan Puteri ini, dia menjadikan pemanah kebangsaan Nur Afisa Abdul Halil sebagai idola sehinggakan cara berpakaian ketika latihan pun menjadi ikutannya.  

“Saya kagum dengan Nur Afisa.. hinggakan tiap kali latihan saya akan ikut cara dia berpakaian, saya akan pakai bandana di kepala walaupun saya bertudung seperti Nur Afisa yang suka pakai bandana,” katanya.

Katanya, walaupun sebelum ini aktif dalam bola baling tetapi setelah cuba serius dalam sukan memanah dia mula seronok.

“Bila dah cuba sukan memanah ni baru saya tahu sukan ni sebenarnya tak susah kalau kita belajar cara dan teknik yang betul.. paling penting ketepatan dan kemahiran melonjakkan panah dengan guna ‘bow’tepat pada sasaran,” katanya.

Ingin jadikan kerjaya kedua

Menurut Puteri, dia yang bermain dalam acara recurve, pada awalnya agak keliru dengan hala tujunya ketika diterima masuk ke sekolah sukan ini namun akhirnya dia sedar bahawa bukan semua pelajar di luar sana memiliki peluang sepertinya.

“Pada awalnya saya sangat mementingkan bidang akademik dan takut ketinggalan pelajaran kalau saya terlalu aktif bersukan.. tapi bila fikir balik untuk apa saya masuk sekolah sukan kalau saya sia-siakan peluang yang ada ni.

“Sejak itu saya berazam untuk serius dalam sukan memanah ini dan menjadi ia kerjaya kedua.. saya janji pada diri untuk seimbangkan pencapaian akademik dan sukan supaya saya boleh menjadi arkitek suatu hari nanti,” katanya.

Katanya, seperti juga ahli sukan yang lain dia sangat takut kalau-kalau mengalami kecederaan kerana khuatir tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya.

“Bagi mengelakkan saya cedera ketika latihan mahupun ketika kejohanan, saya cuba sehabis baik memantapkan kemahiran dan mengatasi kelemahan.. saya akan berusaha hingga layak mewakili Malaysia dalam Sukan Sea nanti,” katanya.

Puteri menunjukkan teknik memanah pada jarak 60 meter.

 

Kos tinggi

Kata Puteri, sukan memanah perlukan kos yang agak tinggi kerana satu set peralatan memanah itu boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

“Sukan ini mahal.. peralatan yang digunakan harganya agak tinggi, set yang saya guna ni pun dah RM7,000.. dari Korea kerana lebih berkualiti,” katanya.

Disebabkan harganya, Puteri menjaga set memanahnya itu dengan baik, setiap kali habis latihan dia akan lap dan bersihkan ‘bow’ supaya sentiasa kelihatan baharu.

“Alhamdulillah ayah dan emak saya menyokong penuh minat saya dalam sukan ini.. mereka menyediakan kelengkapan yang saya perlukan dan sokongan yang tak berbelah bahagi ,” katanya.

Yakin masa depan cerah

Sementara itu, jurulatih pasukan memanah SMK Seksyen 11, Mohd Faiz Hambali berkata, beliau menyifatkan Puteri sangat berbakat dan boleh pergi jauh dalam sukan itu.

“Saya lihat Puteri ada banyak kelebihan.. dari masa ke masa sentiasa ada peningkatan terutama dari segi teknik.

“Dia juga sangat komited dan mempunyai disiplin tinggi.. inilah ciri atlet yang kita cari,” katanya.

Kata Mohd Faiz, beliau yakin Puteri akan menyerlah suatu hari nanti kerana setiap kali pertandingan Puteri akan menduduki ‘ranking’ yang baik.

“Jika dia kekal dengan prestasi yang baik seperti itu, saya yakin dia akan berjaya dan menjadi atlet kebanggaan negara suatu hari nanti,” katanya.

Namun, saya tidak mahu dia mendabik dada, sebaliknya mahu Puteri terus meningkatkan prestasi dan mempergiatkan lagi latihan serta mengasah skil.

“Dengan pencapaian setakat ini saya bangga dengan prestasi Puteri dan ahli pasukan memanah yang lain.. dikenal sebagai Eagle Archery .

“Saya cuba sehabis baik melatih mereka dan berusaha menyumbang seberapa banyak atlet untuk mewakili Selangor terutama ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.

Puteri (duduk, dua kanan) bersama pasukan Eagle Archery dan pihak pengurusan.

 

Kelengkapan tak cukup

Walaupun pencapaian Eagle Archery semakin membanggakan namun kelengkapan di sekolah itu masih tidak mencukupi.

“Masa mula-mula saya datang ke sekolah ini, saya terpaksa potong anak panah bagi mencukupkan keperluan 24 orang atlet memanah manakala ‘bow’ hanya ada tiga sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau kagum dengan komitmen ibu bapa pelajar yang sanggup mengeluarkan wang sendiri membeli kelengkapan anak masing-masing.

“Biarpun kelengkapan sekolah masih tidak mencukupi namun dengan sokongan ibu bapa, atlet Eagle Archery mampu menjalani latihan seperti biasa,” katanya yang baru setahun lebih menjadi jurulatih pasukan sekolah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap ada pihak yang boleh turut memberi sumbangan bagi membolehkan atlet sekolah itu menjalani latihan dengan sempurna.