Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (Saser) akan bekerjasama dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam usaha mengenal pasti pemain berbakat di Negeri Sembilan khususnya dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Pengetuanya, Sabuddin Sani berkata, inisiatif itu susulan kesinambungan  daripada kejohanan ‘Saser SGs 7’s Hockey Trophy Challenge 2018’ yang berakhir Ahad lalu selepas melihat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

“Dalam kejohanan itu, kita lihat ramai pelajar sangat berbakat dalam sukan hoki sama ada lelaki atau perempuan. Jadi, kita rancang untuk menyusun pelbagai program pembangunan hoki di peringkat negeri selepas ini.

Abu Ubaidah menyampaikan replika cek kepada SM Sains Machang yang memenangi tempat pertama bagi kategori lelaki.

“Sudah tiba waktunya negara perlukan pemain yang bukan saja cemerlang di padang, tapi pada masa sama mempunyai kelulusan akademik yang membanggakan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga merancang untuk menjadikan kejohanan Saser SGs 7’s Hockey Trophy Challenge 2018 sebagai acara tahunan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, bermula dari sekarang pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memastikan sukan hoki negara berada pada tangga ke-10 dunia.

“Harapan saya, supaya sukan hoki negara hebat di mata dunia dan untuk memantapkannya semua pihak perlu ambil inisiatif cungkil bakat baru dari peringkat sekolah.

Pasukan SMK Puteri johan bagi kategori perempuan. Turut kelihatan Abu Ubaidah (tengah) dan Sabuddin (kiri baris kedua).

“Kita tak mahu sukan hoki ini jadi macam ‘yoyo’, sekejap naik dan kemudian tenggelam, sedangkan ramai sebenarnya pelajar kita yang berbakat,” katanya.

Sementara itu dalam kejohanan diadakan, Sekolah Menengah (SM) Sains Machang berjaya menjadi johan bagi kategori lelaki.

Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Seremban bagi kategori perempuan dan masing-masing membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM500.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Maznah Abu Bakar dan Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala.

INFO

Saser SGs 7’s Hockey Trophy Challenge 2018

- Johan (lelaki)           : Sekolah Menengah (SM) Sains Machang
- Johan (perempuan): Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Seremban