Bukan calang-calang orang yang boleh terlibat secara langsung dalam sukan lasak. Jika tidak miliki keyakinan diri yang tinggi dan berani berhadapan cabaran, tentu perjuangan akan sia-sia sahaja.

Siapa sangka, dengan hanya berjinak-jinak bermain bola waktu petang ketika kecil akhirnya dia terjebak memilih sukan takraw yang dimonopoli lelaki.

Ini detik mula bagaimana pelajar tingkatan tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11, Shah Alam  Nurul Syafiqah Jafri menceburkan diri dalam sukan ini.

Menurut Nurul Syafiqah, ketika di sekolah rendah dia sering bermain bola sepak bersama rakan waktu petang. Minat dengan sukan lasak yang ekstrem membuatkan dia mencuba untuk bermain takraw dan berlatih sendiri bagi mencabar kebolehan diri.

“Saya pun tak sangka dengan hanya berlatih sendiri saya cepat mahir bermain   dalam sukan ni.. tak susah main takraw sebenarnya, janji kita minat,” katanya.

Syafiqah menunjukkan teknik servis kuda.

 

Kata gadis ini, melihat minatnya pada sukan itu, pada mulanya mak dan ayah Nurul Syafiqah tidak berapa setuju  dengan alasan waktu itu dia masih kecil.

Bagaimanapun, bakat pelajar kelahiran Selangor ini terus digilap ketika dia di tingkatan dua apabila diberi kepercayaan mewakili negeri kelahiran ke Sukma dan kejohanan sepak takraw KPT/UITM Terbuka (Lelaki) Bawah 18 Tahun.

“Pada awalnya memang mak ayah saya tak kasi main takraw ni.. tapi bila diterima masuk ke sekolah sukan ni ketika saya tingkatan dua dan dapat sertai Sukma wakil Selangor, mak ayah makin okey, cuma mereka selalu pesan agar saya jaga diri dan tidak abaikan pelajaran.

“Dari situlah pembabitan saya mula serius dan rasa seronok serta yakin boleh pergi lebih jauh. Saya berazam untuk mewakili skuad negara satu hari nanti,” katanya.

Kelebihan servis kuda

Bakat Nurul Syafiqah terus ditagih apabila kekuatannya kini diukur berdasarkan kelebihannya memiliki servis kuda yang dikuasainya pada tahun ini berikutan latihan demi latihan yang dibuat setiap hari.

Menurut Nurul Syafiqah, hari demi hari dia cuba mempertingkatkan diri dan mencabar kebolehan dalam sukan takraw ini.

“Jurulatih takraw sekolah mula nampak bakat saya dan memberi latihan secara serius dengan meletakkan sasaran untuk saya sekali lagi mewakili Selangor serta sertai Sukma pada tahun hadapan,” katanya.

Malah, kata Syafiqah, jurulatih yang dianggap sebagai sifu banyak memberi tunjuk ajar terutama melatih teknik yang betul.

“Dalam pasukan SMK Seksyen 11, saya bermain di posisi tekong dan banyak juga teknik ketika membuat servis serta hantaran yang saya harus belajar sehingga saya dapat menguasai servis kuda hasil bimbingan jurulatih,” katanya.

 

Syafiqah bersungguh ketika latihan

Manakala ketua jurulatih pasukan Cikgu Rahayu Che Romli berkata, apa yang penting kepada pemain adalah latihan berterusan bagi meningkatkan stamina selain memperkasakan kemahiran.

“Seperti Syafiqah, saya nampak bakatnya boleh pergi jauh.. dengan kebolehannya membuat servis kuda  menjadi bonus yang sangat baik untuk seorang pemain takraw yang bermain posisi tekong,” katanya.

Kata Cikgu Rahayu, Syafiqah sangat rajin dan komited ketika berlatih tidak hairanlah dengan kesungguhannya ketika latihan telah membuahkan hasil apabila dia berjaya melayakkan diri mewakili Selangor ke Sukma.

“Kalau kita buat latihan seperti larian keliling padang, saya tengok syafiqah dengan sendirinya akan membuat larian yang lebih berbanding rakan yang lain.. saya tak perlu suruh pun.. dia sendiri akan buat larian tambahan untuk ‘fitness’ diri dia sendiri.

“Saya nampak semangat untuk maju dia tinggi dan dia sangat serius untuk mengejar cita-cita dia untuk menjadi seorang pemain kebangsaan satu hari nanti.. dan saya yakin dia mampu serta boleh capai cita-cita nya sekiranya dia mengekalkan kesungguhannya,” katanya.

Kata Cikgu Rahayu, ketika latihan pemain diajar peraturan permainan dan teknik bermain dengan betul serta beberapa latihan kecergasan untuk meningkatkan stamina ketika perlawanan berlangsung.

Justeru, beliau berharap kejayaan yang dicapai Syafiqah terus menjadi titik tolak kepada pencapaian yang lebih menakjubkan pada masa depan.

“Sudah tentu saya sangat bangga dengan prestasi Syafiqah dan ahli pasukan lain. Tahniah kepada pemain dan suka saya tekankan jika kita ada kesungguhan dan fokus dalam melakukan sesuatu, kejayaan pasti milik kita.

“Saya cuba sehabis baik melatih mereka dan berusaha mengekalkan kejuaraan pasukan takraw sekolah kami dan saya juga akan berusaha mengekalkan mereka dalam barisan atlik Sukma Selangor dan mara ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

Rahayu