SEGAMAT - Semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini disarankan menggunakan Buku Panduan Pengurusan PIBG bagi memperkasa peranan PIBG di sekolah.

Exco Pendidikan, Datuk Ayub Rahmat berkata, buku panduan tersebut pertama kali diterbitkan di negeri ini dilihat mampu memberi panduan lengkap kepada pengurusan PIBG agar berfungsi dengan lebih berkesan.

Menurutnya, untuk peringkat awal, semua PIBG sekolah di Parlimen Sekijang akan dibekalkan dengan buku tersebut.

“Saya berharap penggunaannya dapat diperluaskan di semua sekolah di negeri ini pada masa akan datang.

“Selepas ini pengurusan PIBG boleh berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing untuk mendapatkan buku panduan ini untuk memperkemaskan lagi sistem pengurusan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Buku Panduan Pengurusan PIBG di Dewan Datuk Ayub Rahmat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra, di sini, kelmarin.

Ayub (tiga, kiri) menyerahkan buku Panduan Pengurusan PIBG kepada Yang Dipertua PIBG SK Kampung Jawa, Shuhaimi Abdul Kadir.

Hadir sama, Pengerusi Biro Pendidikan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dun Kemelah, Alias Abdul Hamid dan Guru Besar SK Bandar Putra, Mohd Yunos Abdul Rahman.

Ayub berkata, kerajaan negeri komited untuk memperkasakan PIBG di negeri ini dan ini adalah salah satu langkah yang diambil bagi memastikan kerjasama serta hubungan baik antara PIBG dengan sekolah dapat diteruskan.

“Usaha mengukuh dan memperkasa sekolah perlu disusuli dengan usaha memperkasa peranan dan pengurusan PIBG bagi memastikan kedua-dua pihak mampu seiringan dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan berketerampilan.

“Saya yakin buku ini mampu membantu memperkemaskan lagi pengurusan PIBG yang terdapat di negeri ini untuk menarik penglibatan lebih ramai ibu bapa dalam aktiviti yang dianjurkan bertujuan membantu pihak sekolah,” katanya.