KEMAMAN - Siri Jelajah Perut Sihat Yeo’s Yeogurt Bersama Sinar Harian yang singgah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Geliga dan SK Chukai kali ini menjadi platform untuk menggalakkan murid membaca akhbar sebagai bahan bacaan tambahan.

Pelbagai maklumat berguna dan ilmu baharu boleh dipelajari murid menerusi Sinar Harian yang mengandungi sisipan Guru, Pelajar, Sekolah (GPS) Bestari setiap Selasa.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Seri Geliga, Mazni Mydinsa berkata, sisipan GPS Bestari berkenaan dapat memberi ilmu tambahan kepada murid khususnya murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Meskipun program ini berbentuk santai, tapi impaknya besar kepada murid kerana mereka dapat maklumat dan secara langsung mereka juga dapat belajar.

“Apa yang mereka pelajari adalah mengenai kebaikan minuman yogurt, ilmu mengenai sistem penghadaman dan mendidik murid agar membaca akhbar,” katanya pada program itu kelmarin.

Mazni (tengah) menerima sumbangan bahan bacaan yang disumbangkan Kumpulan Media Karangkraf.

 

Menurutnya, program itu membuka ruang kepada murid yang tidak pernah membaca akhbar untuk menjadikan amalan membaca bahan bacaan itu sebagai tabiat.

“Bahan bacaan tambahan ini akan membantu untuk mengasah kemahiran mengarang mereka,” katanya.

Sempena siri jelajah berkenaan juga, syarikat induk Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf turut menyumbangkan bahan bacaan kepada Pusat Sumber Sekolah SK Seri Geliga dan SK Chukai.

Mazni berkata, pemberian sumbangan bahan bacaan itu bertepatan dengan Kem Membaca 1Malaysia yang baru dilancarkan di seluruh sekolah di negara ini.

“Sumbangan bahan bacaan ini dapat menambahkan lagi koleksi bahan bacaan sedia ada di pusat sumber kita seterusnya menggalakkan murid untuk membaca,” katanya.

Sumbangan bahan bacaan diserahkan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Chukai, Rohani Jaafar (kanan).

 

Sementara itu, Guru Besar SK Chukai, Ahmad Kamal Ismail berkata, akhbar Sinar Harian yang turut mengandungi sisipan pendidikan menjadikan ia akhbar yang seimbang dan turut sesuai untuk menjadi bahan bacaan kepada murid.

“Program seperti ini amat dinanti-nantikan oleh semua murid dan guru sebab ia mementingkan pengambilan makanan dan minuman yang sihat seperti minuman Yeo’s Yeogurt.

“Kita boleh didik anak-anak agar mengamalkan pengambilan nutrisi seimbang sejak kecil untuk melahirkan murid yang cergas dan cerdas.

“Dengan kolaborasi Yeo’s bersama Sinar Harian, warga pendidik dan murid di sekolah ini dapat mengenali lebih dekat peranan Sinar Harian,” katanya.

Katanya, sisipan pendidikan dalam akhbar Sinar Harian turut membantu proses pengembangan pendidikan negara kerana ia menjadi platform kepada murid untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Seramai 700 murid SK Seri Geliga dan 500 murid SK Chukai terlibat dalam program Siri Jelajah Perut Sihat Yeo’s Yeogurt Bersama Sinar Harian berkenaan yang memasuki penganjuran tahun ketiga tahun ini.

Murid SK Chukai tekun membaca sisipan GPS Bestari.

Akhbar Sinar Harian diagihkan secara percuma kepada murid.

Wakil GPSBestari menyampaikan hadiah kepada murid pada slot kuiz.