TANJUNG MALIM - Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City Tanjong Malim akan menganjurkan Kejohanan Ragbi Rimau Proton City 7 peringkat Kebangsaan (PC7) B11 2017 Edisi ke-4 pada 7 dan 8 Oktober 2017 bagi merebut Piala PC7.

Guru Besar, Zubiar Zainol berkata, kejohanan di bawah Program Pembangunan Ragbi Negeri Perak B11 dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, adalah kejohanan tahunan berprestij di negeri ini bagi kategori ragbi rimau dan akan dikelolakan dengan sokongan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perak.

Menurutnya, PC7 mula diperkenalkan pada 2014 dengan penyertaan 16 pasukan pada peringkat permulaan. Kemudian, penyertaan sebanyak 32 buah pasukan daripada sekolah-sekolah seluruh Malaysia sangat membanggakan.

“Kita mahu bakat pemain ragbi dicungkil dari peringkat sekolah rendah agar sukan ragbi mempunyai pelapis dalam mengembangkan lagi sukan tersebut,” katanya dengan menambah program akar umbi yang dilakukan oleh SK Proton City sangat baik serta efektif kerana ibu bapa turut memberikan sokongan padu.

Sementara itu, sebanyak lapan kategori akan dipertandingkan iaitu kategori Cup, Plate, Bowl, Shield, Spoon, Folk dan Saucer.

Antara pasukan yang bakal berentap adalah Red Scorpions (SK Proton City, Perak), Vampires (SK Sultan Yusuf, Perak), Beefourian (SK Batu 4, Perak), Thunder (SK Changkat Jering, Perak), Lavender (SK Lavender Height, Negeri Sembilan), Bilal Troopers (SK Parit Bilal, Johor), SK Taman Sri Pulai (Fursan RC, Johor) dan ramai lagi.

Pengarah Program PC7 B11 2017 Edisi ke-4, Mohd Adam Azmi berkata, kejohanan kali ini menyaksikan pertarungan sengit di antara semua pasukan yang bertanding.

"Memang tidak dinafikan, saingan sengit akan berlaku kerana kejohanan disertai pasukan-pasukan juara Ragbi B11 di Malaysia.

"Masing-masing ingin mencipta kemenangan dan kita berharap mereka akan bermain dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Sempena kejohanan itu nanti, pelbagai program akan diadakan, antaranya karnival jualan, pameran, pesta PC7 dan Hari Kokurikulum SK Proton City yang mendapat sokongan komuniti masyarakat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Proton City.

"Kami menjemput orang ramai dari seluruh daerah Muallim untuk menyaksikan kejohanan dan karnival yang akan diadakan,” katanya.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya akan hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.