Walaupun hanya mendapat kedudukan gangsa sempena Kejohanan Hoki 6 Sebelah Bawah 16 tahun Peringkat Negeri Sembilan, pasukan hoki Sekolah Menengah Sains Rembau (Semesra) terus bersemangat untuk memperbaiki kedudukan.

Kapten pasukan, Muhammad Afiq Zainidar berkata, pasukannya berjaya menewaskan pasukan hoki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul dalam penentuan tempat ketiga dan keempat iaitu dengan kiraan 2-0.

Menurutnya, kejayaan berkenaan merupakan bonus buat pasukan hoki berkenaan memandangkan Semesra bukanlah merupakan sekolah projek hoki mahupun sekolah sukan.

Skuad hoki Semesra tetap gembira dengan gangsa sempena Kejohanan Hoki 6 Sebelah Bawah 16 tahun Peringkat Negeri Sembilan di Seremban 2, baru-baru ini.

“Oleh itu, kami amat berbangga dengan kejayaan ini kerana sehingga ke perlawanan akhir kami mampu memberi saingan yang hebat kepada sekolah sukan dan sekolah projek hoki yang lain.

“Malah, penjaga gol kami, Ahmad Abdul Nasir Mohamad Hafiz berjaya muncul sebagai penjaga gol terbaik keseluruhan bagi kejohanan berkenaan yang diadakan di Stadium Hoki Seremban 2,” katanya kepada Sinar Harian sempena kejayaan berkenaan di sini, baru-baru ini.

Ahmad Abdul Nasir bersama trofi selepas dinobat penjaga gol terbaik.

Muhammad Afiq berkata, pasukannya kini menyasarkan muncul sebagai johan dan pasukan hoki terbaik dalam kejohanan hoki peringkat negeri Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Menurutnya, sebelum ini iaitu pada 2016, pasukannya pernah mencapai kedudukan naib johan Kejohanan Hoki SBP Negeri Sembilan/Melaka dan Johan kategori Silver Kejohanan Hoki SBP Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu.

“Oleh itu, pada tahun ini, kita menyasarkan untuk mendapat kedudukan johan bagi membalas jasa jurulatih dan sekolah,” katanya.

Sementara itu, bagi Ahmad, dia menyatakan kejayaannya dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik keseluruhan itu adalah hasil daripada kerjasama semua ahli pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.

Skuad hoki Semesra aktif dengan penyertaan pelbagai kejohanan.

“Pasukan di bahagian pertahanan amat cemerlang permainannya apabila membantu saya dalam menyelamatkan gawang gol daripada dibolosi,” katanya yang mula menyertai sukan hoki sejak tahun lima.