SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari selepas menewaskan SMK Saujana Impian dengan tiga gol berbalas satu pada perlawanan yang berlangsung sengit di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),  Sabtu lalu.

Gol pasukan SMK Dato’ Harun dijaringkan Muhammad Hakimie Nor Wahid; Muhammad Faris Hafiz Azhar dan Ahmad Danial Ahmad Azri.

Sementara itu, gol tunggal pasukan SMK Saujana Impian pula dijaringkan Abdul Haqim Rozmi.

Tempat ketiga kejohanan pula dimenangi pasukan SMK Kajang selepas menewaskan pencabarnya, SMK Bukit Rahman Putra dengan jaringan 2-1.

Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada kejohanan kali ini turut menobatkan penyerang SMK Dato’ Harun, Muhammad Firdaus sebagai pemain terbaik manakala Muhammad Faris pula dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan iaitu sebanyak 15 gol.

Piala dan hadiah kemenangan kejohanan yang ditaja Kumpulan Perangsang Selangor selama empat tahun berturut-turut itu disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Emran (dua, kanan) menyampaikan cenderamata kepada Tengku Amir Shah.

 

Kejohanan ini juga dibarakan oleh Sinar Harian dan portal berita sekolah GPSBestari.com sebagai media rasmi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, menerusi kejohanan tahun lalu, seramai 43 pemain telah diikat oleh beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab, antaranya Selangor, PKNS, Johor Darul Takzim (JDT), Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan juga Negeri Sembilan.

“Sememangnya matlamat utama kejohanan adalah untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu pemain bola sepak remaja agar dapat diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dan Malaysia suatu hari nanti.

“Saya berharap kita dapat mengekalkan kejohanan ini bagi melahirkan lebih ramai lagi pelapis dan golongan profesional serta menggalakkan pelajar mencipta kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional serta mewakili negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat), Mohd  Fauzi Mohd Ghazali berkata, syarikat milik kerajaan negeri itu telah memberikan suntikan kewangan sebanyak RM150,000 untuk menjadi penaja utama kejohanan tersebut.

Pemain SMK Dato’ Harun kecewa setelah rakan mereka dikenakan kad kuning pada separuh masa kedua.