BACHOK - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat muncul juara kali kedua berturut-turut Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Bachok, baru-baru ini.

Sekolah berkenaan meraih 15 pingat emas, 10 perak dan enam gangsa sekali gus mengekalkan kejuaraan dimenangi tahun lalu untuk menjulang piala pusingan selain membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Lebih membanggakan atlet mereka, Nurul Shuhaibah Azahari dinobatkan Olahragawati Terbaik manakala peserta SMK Beris Panchor, Joseph Wee Wei Sheng diumumkan Olahragawan Terbaik.

SMK Beris Panchor menduduki tempat kedua dengan kutipan sembilan emas, 13 perak dan lapan gangsa manakala ketiga, SMK Kandis meraih tujuh emas, tujuh perak serta sembilan gangsa  dalam kejohanan disertai 17 sekolah itu.

Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman hadir merasmikan majlis penutup kejohanan  seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama, Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan negeri, Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Bachok, Mohd Faizul Yusoff dan timbalannya, Drs Amran Mustapha.

Turut meraikan kejayaan ialah Penolong Kanan Pentadbiran SMK Jelawat, Anuar Reping; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Che Saharuddin Che Kob dan Penolong Kanan Pendidikan Khas, Mohd Nasrul Ali.

Sementara itu, Pengetua SMK Jelawat, Norma Yasim berkata, beliau berbangga di atas pencapaian kontinjen mereka mendominasi kejohanan yang disertai 17 sekolah dalam daerah Bachok itu.

“Alhamdulillah sekali lagi sekolah kita dapat mengekalkan kejuaraan malah atlet berbakat besar, Nurul Shuhaibah Azahari turut mendapat pengiktirafan selaku olahragawati terbaik.

“Malah dua atlet lain iaitu Ashraf Albashyir Sidek dan Norashfardiana Azmi juga cemerlang apabila menggondol enam emas dan satu perak dalam acara masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan kerja keras semua atlet yang gigih menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih sukan SMK Jelawat, Mohd Ghani Seman dan dibantu penolongnya, Mohd Fadli Saari.