SMK Khir Johari dari Sungai Petani menepati ramalan apabila muncul juara Bawah 15 Tahun dan 18 Tahun Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Muda Yan 2018 di Padang Mini Stadium Guar Chempedak, baru-baru ini.

Ketua Jurulatih SMK Khir Johari Bawah 18 Tahun, Mahamud Harun berkata, pencapaian itu adalah hasil komitmen dan disiplin tinggi semua pemain semasa latihan dan pada perlawanan.

Menurutnya, latihan intensif dikendalikan Penolong Jurulatih, Raja Shaharul Amri juga membuahkan hasil.

“Kejayaan ini pencapaian cukup manis untuk saya serta pasukan, diharap tradisi kejuaraan ini dapat diteruskan pada masa depan,” katanya.

Pada perlawanan akhir, skuad Bawah 15 Tahun mereka yang dibimbing Iskandar Abu Samah mengatasi cabaran SMK Sungai Pasir Kechil, 3-0.

Skuad Bawah 18 Tahun pula, SMK Johari Khir juga tidak berdepan masalah membelasah SMK Taman Ria juga 3-0.