KUALA TERENGGANU – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin komited untuk melahirkan lebih ramai atlet hoki terbilang pada masa akan datang melalui projek hoki sekolah tersebut.

Pengetuanya, Zah Mohamad berkata, sejak diadakan pada 1986, projek hoki SMK Padang Midin berjaya mengilap bakat pemain-pemain hoki hebat yang bermain mewakili Terengganu.

“Antara pemain itu adalah Mohd Shahrun Nabil Abdullah dan Wan Mohd Nazrul Wan Nawi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jersi kepada Pelajar-Pelajar Projek Hoki SMK Padang Midin dari Hola-Hola Marketing.

Majlis tersebut dirasmikan Penolong Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu, Nasree Bin Najmi.

Hadir sama, Penolong Pengurus THT, Datuk Hazlam Ismail.

Jersi hoki yang ditaja oleh Hola-Hola Marketing.

 

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Pasukan Hoki Terengganu (THT) terdiri daripada 16 pemain tempatan termasuk beberapa bekas pelajar SMK Padang Midin sendiri dan pemain import dari Argentina, German dan Pakistan.

Hadir sama, Pengasas Projek Hoki SMK Padang Midin, Solah Fikri Abu Bakar yang kini memegang jawatan Naib Pengerusi 1 Persatuan Hoki Terengganu dan Pengurus THT yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Padang Midin, Zaki Mohd Noor.

Pada majlis itu, syarikat Hola-Hola Marketing berbesar hati menaja jersi kepada 98 pelajar yang mengikuti projek hoki SMK Padang Midin melibatkan murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Mengulas lanjut, Zah berkata, warga SMK Padang Midin turut berbangga apabila enam bekas pelajar sekolah itu terpilih menyertai pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT).

Lebih menggembirakan katanya, dua pelajar Tingkatan Empat turut dipilih bermain dengan pasukan hoki wanita itu dan ia membuktikan kecemerlangan atlet hoki kelahiran sekolah itu.

“Untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada September nanti pula, seramai lapan pelajar perempuan dan 10 pelajar lelaki sekolah ini akan beraksi mewakili negeri.

“Alhamdulillah, ini kejayaan yang membanggakan dan kehadiran pemain THT hari ini tentu sekali menyuntik semangat pelajar projek hoki ini untuk menjadi pemain hoki terbilang satu hari nanti,” katanya.

Cikgu Zah menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat.

Warga SMK Padang Midin tidak melepaskan peluang bergambar dengan pemain THT.