SEMEMANGNYA sejak kecil lagi, pasangan suami isteri Razali Ismail, 44, dan Norani Ayub,44, memberi galakan kepada anak-anaknya untuk menceburi bidang sukan.

Baginya penglibatan aktif dalam aktiviti sukan mampu menjadikan anaknya sebagai seorang individu yang lebih berdisiplin dan berdaya saing serta pada masa sama cemerlang dalam bidang akademik.

Jika anak sulung yang kini berusia 19 tahun menceburi bidang sukan olahraga, berbeza dengan dua lagi anaknya iaitu Nurul Alya,15, dan Izz Rayyan, 8, yang kini sedang menjulang nama dalam sukan tekwando sehingga ke peringkat kebangsaan.

Menurut Razali, dia memberi kebebasan kepada anaknya untuk menceburi bidang sukan yang mereka minati selagi ia tidak memudaratkan.

Jurulatih Kelab Beyond Taekwondo Nilai, Master Rajah yang berjaya menggilap bakat Nurul Alya.

“Sejak kecil saya nampak dua anak saya berminat dengan seni mempertahankan diri dan saya bermula dengan menghantar mereka mengikuti kelas tekwando di di luar sebelum  menyertai Kelab Beyond Tekwando di Nilai.

“Dari situ saya nampak yang mereka sangat berminat dengan sukan tekwando dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikuti sesi latihan diadakan sehingga terpilih untuk mengikuti pelbagai kejohanan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Razali yang bekerja swasta berkata, walaupun sukan terbabit dilihat agak lasak, namun ia bagus dalam membentuk jati diri selain dapat mengisi masa lapang anak-anaknya dengan aktiviti lebih bermanfaat.

“Saya tak kedekut duit sediakan apa saja keperluan untuk anak saya berjaya dalam sukan tekwando malah saya sediakan mini gym di rumah sebagai galakan  dan sokongan kepada mereka.

“Saya sendiri suatu ketika dulu ialah bekas atlet sukan lumba basikal Negeri Sembilan dan pernah mewakili Sukma (Sukan Malaysia) Ipoh pada tahun 1994 dan Johor pada tahun 1992,” katanya.

Menurutnya, penglibatan aktif dalam bidang sukan dapat dijadikan sebagai tambah nilai kepada markah kokurikulum pelajar yang kini perlu diberi perhatian dan kedua-dua anaknya itu mahu dilihat sekurang-kurangnya mampu ke peringkat kebangsaan dalam kejohanan tekwando.

“Walaupun mereka aktif dalam sukan tekwando, tapi saya akan pastikan mereka tidak lupa mengulangi kaji pelajaran dan memperoleh keputusan terbaik dalam bidang akademik.

“Bagi saya paling penting, perlu pandai bahagi masa. Saya dan isteri pun akan memastikan mereka tidak abai tanggungjawab sebagai pelajar,” katanya.

PROFIL

Nama : Nurul Alya Razali

Umur : 15 tahun

SMK Desa Cempaka, Nilai

4 Pingat Emas

- Kejohanan Taekwondo Perisai Peringkat Negeri Selangor 2016

- Kejohanan Bakat Remaja Kebangsaan 2017

- Kejohanan Taekwondo Perisai Peringkat Negeri Selangor 2018

- Kejohanan Taekwondo Antara Sekolah Negeri Sembilan 2018

2 Pingat Perak

- Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan 2017

- Kejohanan Taekwondo Kebangsaan 2018

Anugerah

- Insan Terbilang Negeri Sembilan ke-4 (2017)

- Anugerah Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2018

- Anugerah Tokoh Kokurikulum 2018 (Taekwondo)

 

PROFIL

Nama : Izz Rayyan Razali

Umur : 8 tahun

Sek Keb Dato Ahmad Manaf, Nilai

2 Pingat Emas

- Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan 2017

- Kejohanan Taekwondo Antara Sekolah Negeri Sembilan 2018

1 Pingat Perak

- Kejohanan Taekwondo Perisai Peringkat Negeri Selangor 2018