KUALA TERENGGANU –  Kontinjen Terengganu melayakkan diri ke pusingan suku akhir Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2017 selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, kelmarin.

Pasukan bawah 12 tahun perempuan mengungguli kumpulan G selaku juara apabila melakarkan rekod bersih dengan menewaskan Selangor (11-8) dan Perak (11-4), manakala skuad lelaki pula muncul naib juara kumpulan B apabila sekadar meraih keputusan seri 10-10 ketika bertemu Sabah dan mencatatkan kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim 11-6.

Bagi kategori bawah 18 tahun pula, pasukan perempuan muncul naib juara kumpulan M dengan meraih satu kemenangan ke atas Kelantan (5-4) dan tumpas kepada Kedah (3-4), manakala kem lelaki meraih gelaran juara kumpulan K dengan melakarkan hatrik kemenangan ke atas Negeri Sembilan (11-10), Pulau Pinang (9-5) dan Johor Darul Ta’zim (11-7).

Skuad lelaki bawah 18 tahun jadi pasukan terakhir melayakkan diri ke pusingan suku akhir apabila diberi tentangan sengit pada perlawanan penentuan bertemu Johor Darul Ta’zim dengan ketinggalan 0-4 sebelum bangkit meraih kemenangan bergaya 11-7, kelmarin.

Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Hafizan Abu Bakar berada di landasan terbaik dalam usaha memburu kejuaraan musim ini selepas sekadar berada di tempat ketiga musim lalu.

Aksi skuad perempuan bawah 12 tahun pada saingan peringkat kumpulan dengan muncul juara kumpulan G.

Pelajar dari Sekolah Sukan Terengganu, Bukit Nenas memberi sokongan padu kepada pasukan bawah 18 tahun lelaki pada aksi terakhir peringkat kumpulan K, kelmarin.

 

Berjaya beri saingan sengit

Hafizan akui bangga dengan prestasi anak buahnya apabila berjaya beri saingan sengit kepada pasukan lawan meskipun memiliki kekurangan terutama dalam aspek fizikal.

Katanya, perlawanan itu amat mencemaskan apabila pasukan lawan menggunakan kelebihan pemain mereka yang kebanyakannya bersaiz lebih besar dan tinggi lampai, namun pemainnya  mampu tampil dengan corak permainan berbeza untuk memerangkap Johor.

“Taktikal kita bermain dengan lebih laju selepas ketinggalan 4-0 berjaya bawa kemenangan pada pasukan dan harap pemain dapat mengekalkan momentum ini pada saingan suku akhir nanti.

“Kita akan terus bekerja keras untuk mencapai misi bergelar juara musim ini, apatah lagi beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.

Difahamkan, bagi kategori lelaki bawah 18 tahun, enam pasukan terbaik akan mara ke suku akhir dengan format dua pasukan, yang mana dua pasukan teratas bakal melangkah ke separuh akhir.

Selain Terengganu, Perak, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Kedah turut layak ke suku akhir serta bakal berentap dalam kumpulan X dan Y.

Sementara itu, pasukan bawah 18 tahun perempuan gagal mengesahkan slot ke separuh akhir apabila tewas mengejut ke atas Selangor 4-8 pada aksi suku akhir yang berlangsung pagi semalam.

 

Aksi sengit dipamerkan pasukan Terengganu ketika melakukan serangan ke gawang Johor Darul Ta’zim yang berkesudahan kem tuan rumah meraikan kemenangan 11-7.