Bagi meraikan kejayaan empat pemain Kedah yang muncul juara pada Terbuka Remaja British (BJO) 2018 Pelajar dari SMK Sultanah Asma dan SK Taman Rakyat berhimpun menyambut kepulangan jaguh sukan negara itu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah, Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata, mereka mencipta sejarah buat pasukan kebangsaan apabila pertama kali meraih empat gelaran juara pada kejohanan tersebut.

Pemain tersebut adalah juara Kategori Bawah 19 Wanita, S Sivasangari, manakala pemain adik-beradik, Aira dan Aifa Azman pula masing-masing memenangi Kategori Bawah 15 dan 17 Wanita.

Seorang lagi pemain Kedah, K Sehveetrraa buat penampilan kali pertama, melakukan kejutan apabila merangkul kejuaraan Kategori Bawah 13 Wanita.

Mohamad Rizal berkata, tujuh pemain dari Kedah menyertai kejohanan tersebut dan tiga pemain lagi tetap mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila mara ke peringkat separuh akhir dalam kategori masing-masing.

“Menteri Besar Kedah sudi meluangkan masa bertemu empat pemain ini di Wisma Darul Aman, di mana akan ada ganjaran disediakan atas kejayaan ini,” katanya.

Sementara itu, dalam pekembangan berasingan, Kedah mendapat suntikan baharu bagi melahirkan lebih ramai atlet skuasy apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan pembinaan gelanggang sukan itu bernilai RM7.8 juta  di Suka Menanti, Alor Setar.

Mohamad Rizal berkata, gelanggang tersebut dijangka siap penghujung tahun ini ataupun paling lewat awal 2019.

Menurutnya, majlis pecah tanah akan dilaksanakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada penghujung Februari depan.

"Insya-Allah dengan adanya gelanggang baharu ini, kita akan melahirkan lebih ramai lagi bakat buat Kedah dan juga negara,” katanya.