SUNGAI BAKAP - Kerjaya sebagai wartawan didedahkan kepada kira-kira 30 murid tahun lima dan enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini baru-baru ini.

Program hampir tiga jam itu dikendalikan Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Utara, Mohd Idros Mohd Ali yang mendedahkan peserta dengan selok belok dan asam garam dunia kewartawanan.

Akhirnya mereka menyedari bahawa wartawan bukanlah kerjaya yang semata-mata mengejar glamour dan berkisar di kaca televisyen sahaja kerana ia mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat dan kerajaan.

Program ini memberi pendedahan mengenai selok belok dunia kewartawanan yang sebenar.

 

KERJAYA MENCABAR BERGELAR SEORANG WARTAWAN

Muhammad Aliff Zharin Shah,12, merasa teruja apabila didedahkan kepada dunia kewartawanan dan ketika itu terus teringatkan pembaca berita di televisyen.

"Tak tahu pula kerjaya sebagai wartawan ini mempunyai skop yang meluas sebenarnya. Ia meliputi pelbagai aspek baik di media elektronik atau media cetak," katanya.

Bercita-cita mahu bergelar sebagai wartawan jenayah suatu hari nanti, anak sulung dari dua beradik ini berkata minatnya akan menjurus ke arah itu pada masa hadapan.

"Pada saya, wartawan adalah satu tugas yang mulia dan dalam masa yang sama begitu mencabar.

"Saya suka sesuatu yang mencabar dan kerjaya sebagai wartawan memang kena dengan jiwa saya," katanya.

Siti Nurinsyirah Samsudin,11, gembira kerana memperolehi pelbagai ilmu mengenai bidang kewartawanan dalam program itu.

"Sebelum ini tak pernah lagi kami didedahkan dengan selok belok dunia kewartawanan. Ini kali pertama kami berpeluang bertemu sendiri dengan wartawan Sinar Harian.

"Sememangnya pengalaman ini tak akan saya lupakan sampai bila-bila. Rasa seronok sangat tadi," katanya.

Nur Athirah Mohd Yusrie,12, pada awalnya berhasrat untuk mengejar gelaran sebagai seorang doktor tetapi berubah fikiran apabila menyertau program itu.

"Saya bercita-cita menjadi doktor namun bila mendengar mengenai selok belok dunia kewartawanan, mungkin saya akan berubah haluan untuk bergelar seorang wartawan suatu hari nanti.

"Kerjaya sebagai wartawan ini amat menyeronokkan, berpeluang untuk menjadi orang pertama yang akan menerima info mengenai satu-satu berita. Itu yang amat mengujakan saya," katanya.

Guru juga tidak melepaskan peluang untuk bersama dalam program kewartawanan.


CUNGKIL BAKAT MURID

Ketua Panitia Bahasa Melayu, Farahwahida Abdul Rahman berkata program itu secara langsung dapat mendedahkan murid kepada dunia kewartawanan yang sebenar.

"Ini program pertama melibatkan bidang kewartawanan yang dianjurkan di sekolah ini. Pada saya ia dapat menarik minat murid terutama dalam menentukan hala tuju mereka di masa depan.

"Bidang kewartawanan pada saya adalah bidang professional yang seharusnya diberi pendedahan yang meluas kepada murid sekolah," katanya.

Selain itu, secara tidak langsung program seperti itu dapat mengasah bakat murid dalam bidang penulisan.

"Dari apa yang disampaikan, saya lihat ia berkaitan rapat dengan penulisan Bahasa Melayu yang sememangnya perlu dititikberat terutama kepada murid tahun enam yang bakal menduduki UPSR tahun ini.

"Sebagai persediaan awal serta memperbaiki mutu penulisan, sekolah turut melibatkan penyertaan beberapa murid tahun lima," katanya.

Murid tekun mendengar ceramah yang disampaikan.



HALA TUJU MURID

Ketua Panitia Bahasa Inggeris yang juga Penyelaras Tahun Enam, Fauziah Begum Banjari berkata program kewartawanan itu memberi pendedahan kerjaya kepada murid.

"Biarpun usia mereka antara 11 dan 12 tahun, namun ia memberi kesan positif kepada murid apabila didedahkan dengan kerjaya sebagai wartawan dalam usia semuda ini.

"Selalunya bila di dalam kelas, cikgu bertanya cita-cita dan ada yang menjawab guru, polis, jurutera. Tapi kali ini mereka akan lihat bahawa dunia pekerjaan mempunyai skop yang lebih
meluas," katanya.

Guru Besar SK Sungai Bakap Marzhukhi Mohamad berkata, program itu melibatkan 30 murid cemerlang tahun enam dan lima sebagai pendedahan tambahan.

"Alhamdulillah, saya melihat respons yang diberikan murid amat menggalakkan. Pada peringkat awal kita perlu membuat saringan untuk memilih peserta program ini.

"Insya ALLAH, di masa hadapan kita akan libatkan sebilangan besar murid lagi untuk bersama-sama mendapat pengetahuan mengenai kerjaya wartawan," katanya.

Guru dan murid SK Sungai Bakap bergambar selepas tamat program kewartawanan baru - baru ini.