Seramai 50 ahli Kelab Taekwondo Teguh (KTT) Terengganu menyertai ujian kenaikan pangkat tali pinggang yang diadakan pertama kali di daerah ini untuk tahun ini.

Ketua Jurulatih KTT Terengganu, Mohamad Salihin Abdullah berkata, ujian yang melibatkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah itu menyaksikan pertambahan peserta yang tinggi berbanding tahun lalu.

Katanya, ujian itu melibatkan ahli baharu yang memakai tali pinggang putih hingga ke tali pinggang merah yang mahu mengambil tali pinggang hitam.

“Ujian ini diadakan untuk menilai tahap pencapaian atlet sepanjang mereka berlatih.

“Atlet-atlet daerah ini juga akan didedahkan dengan peluang mereka untuk menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mohamad Salihin memberi penerangan terperinci teknik pergerakan taekwondo.

 

Ujian berkenaan diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik.

Sementara itu, menurutnya, sebelum ini KTT Terengganu juga telah mengadakan taklimat untuk pembukaan kelas yang pertama di Kemaman di SK Bukit Mentok serentak dengan pengambilan ahli kelab taekwondo baharu bagi sesi 2018.

Mohamad Salihin memberitahu, latihan di sekolah itu dijalankan setiap Isnin dari jam 5 hingga 6.30 petang oleh jurulatih, Ahmad Ikram Ahmad Zaharudin.

Tambahnya, kunjungan secara terus ke sekolah itu sememangnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kesemua murid dan guru.

“Menerusi maklum balas pihak sekolah, mereka sememangnya mengharapkan murid memanfaatkan ilmu seni mempertahankan diri dari Korea Selatan itu untuk tujuan keselamatan.

 

Lebih 100 murid SK Bukit Mentok mendengar taklimat mengenai KTT Terengganu.

 

 

“Pihak sekolah juga berharap suatu hari nanti akan ada atlet sekolah tersebut yang dapat mewakili sekolah, negeri atau negara dalam mana-mana kejohanan,” katanya.

Beliau berkata, paling penting seni taekwondo boleh membentuk disiplin dan jati diri kesemua ahli.












 

  1.