Siri Jelajah Perut Sihat Bersama Yeo’s Yeogurt dan Sinar Harian kembali untuk edisi 2016 dengan memilih 20 sekolah di negeri Pantai Timur.

Bermula kelmarin, Skuad Renjer Sekolah Yeo’s dan Sinar Harian membuka tirai program perkongsian membina minda berkaitan kesihatan di destinasi pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung dan SK Pasir Pekan, Tumpat.

Siri jelajah hari kedua pula diteruskan ke SK Kebangsaan Sultan Ismail 4 dan SK Semut Api, Kota Bharu, dengan penuh pengisian berguna kepada murid terlibat.

Guru dan murid SK Sultan Ismail 4 bergambar bersama Skuad Renjer Sekolah Yeo’s dan Sinar Harian, semalam.

 

Gabungan antara Yeo’s dan Sinar Harian itu bertujuan memberi kesedaran kepentingan penjagaan usus sambil diselangi sesi pembacaan bagi memperkasakan minat membaca surat khabar dalam kalangan murid sekolah.

Skuad Renjer Sekolah Yeo’s diketuai Wan Nur Ayuni Wan Hilmi berkata, program penuh manfaat ini adalah untuk berkongsi pengetahuan dan mendidik murid seawal sekolah rendah mengenai kepentingan sistem penghadaman dan penjagaan usus.

“Kami juga berkongsi amalan baik dan memperkenalkan kebaikan Yeo’s Yeogurt kerana ianya berkaitan penjagaan usus.

“Yeo’s Yeogurt mengandungi susu dan asid laktik yang dapat membantu sistem pencernaan badan secara berkesan,” katanya.

Murid SK Padang Pohon Tanjung teruja menunjukkan naskhah Sinar Harian yang diterima.

 

Setiap murid dibekalkan sekotak Yeo’s Yeogurt dan senaskhah akhbar Sinar Harian atas tajaan sepenuhnya Yeo’s di setiap sekolah terlibat siri jelajah ini.

Di Kelantan, Siri Jelajah Perut Sihat Bersama Yeo’s Yeogurt melibatkan 10 sekolah dan berjaya mengumpulkan 5,000 murid yang turut dimeriahkan dan disertai, Penolong Pengurus Bahagian Pemasaran Sinar Harian, Rozalina Mohamed.

Di SK Pasir Pekan, siri jelajah ini lebih meriah apabila dihadiri Penyelia Pendidikan Pencegahan Dadah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat, Hamidi Che Said.

Hamidi berkata, program ini sangat baik kerana mendedahkan murid mengenai aspek kesihatan terutama sistem penghadaman.

“Ia informasi berguna kepada murid, ilmu yang diperoleh boleh disebarkan kepada ibu bapa dan adik beradik di rumah,” katanya.

 

Diakui pendekatan terbaik

Manakala di Kota Bharu, keberkesanan program secara santai tersebut turut diakui warga SK Semut Api dan SK Sultan Ismail 4.

Guru Besar SK Semut Api, Wan Mohamed Azemi Wan Yaacob, berkata, ia antara pendekatan terbaik, aktiviti pembelajaran yang selari dengan kehendak arus pendidikan perdana abad ke-21.

Menurutnya, di samping memberi pendedahan aspek kesihatan, siri jelajah ini dilihat berjaya meningkatkan keyakinan dan semangat kira-kira 400 murid sekolah berkenaan.

“Kami mengalu-alukan program seperti ini, kerana ia bukan sahaja mendedahkan pelajar dengan aktiviti pembelajaran di luar kelas, malah mengembangkan kecerdasan minda mereka,” katanya.

Murid, Mohd Hakimi Amran, 12, mengakui teruja mengikuti aktiviti diadakan dan berterima kasih kerana memilih sekolah mereka.

Wan Nur Ayuni menyampaikan cenderahati kepada Penolong Kanan Pentadbiran SK Pasir Pekan, Wan Mohd Ikram Wan Adik.

 

Bagi guru SK Sultan Ismail 4, Shalkis Samihah Ismail turut mengakui banyak pendedahan diperoleh murid.

Beliau yang juga guru Muzik dan Bahasa Melayu berkata, siri jelajah berkenaan secara tidak langsung membantu memperkenalkan Sinar Harian dalam kalangan murid.

Seorang lagi guru SK Sultan Ismail 4, Ahmad Murdani Yusoff berkata, program lebih sejam itu memberi input berguna kepada lebih 500 murid sekolah berkenaan.

“Program ini turut membantu meningkatkan kemahiran kendiri murid melalui pembelajaran luar kelas apabila mereka berani menonjolkan diri,” katanya.