KUALA PILAH – Berkat menunaikan solat secara berjemaah di bumi asing antara rahsia kejayaan pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba meraih tempat ketiga pada Kejohanan Bola sepak Gothia Cup di Gothenberg, Sweden.

Pengetuanya, Roslin Bahlia berkata, meskipun berada di negara luar, solat berjemaah tidak harus dilupakan sebaliknya ditekankan kepada anak-anak muda.

“Walau di mana kita berada, jika berpeluang untuk tunaikan solat secara berjemaah, buatlah. Ini kerana ada keberkatannya.

“Alhamdulillah, akhirnya kejayaan berpihak kepada pasukan lelaki bawah 14 tahun setelah memasuki perlawanan separuh akhir bertemu Brazil dengan kesudahan jaringan 2-1, sekali gus meraih tempat ketiga peringkat dunia,” katanya pada majlis meraikan kejayaan pasukan bola sepak lelaki bawah 14 tahun bertempat di sekolah tersebut.

Dalam pada itu, katanya, jika di asrama sekolah menjadi rutin pelajarnya menunaikan solat dhuha sebelum memulakan sebarang tugasan ataupun pembelajaran.

Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana dapat menamatkan saingan di tempat ketiga daripada jumlah keseluruhan penyertaan.

“Kami sertai Kejohanan Bola sepak Gothia sudah lima tahun dan ini adalah kali pertama memasuki peringkat separuh akhir.

“Kejayaan ini adalah satu kejutan kerana wakil negara sebelum ini termasuk SMK Za’ba yang menyertai kejohanan setakat ini belum pernah mara sejauh itu.

“Insya-ALLAH, kami akan terus beraksi setiap kejohanan selain mencuba lebih baik lagi masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, difahamkan ia adalah pencapaian pertama kali oleh wakil negara, selepas lebih 10 tahun menyertai kejohanan yang membabitkan pasukan umur bawah 14 tahun dan disertai 214 pasukan daripada 86 negara.

Piala Gothia anjuran syarikat SKF Nilai mula diperkenalkan sejak 10 tahun lalu dan kemuncak kejohanan berlangsung di Sweden dari 16 hingga 22 Julai lalu.

SSNS SMK Za’ba dipilih ke kejohanan tahunan berprestij itu selepas menumpaskan SMK Dato Abdul Samad, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, dengan jaringan 4-2, menerusi sepakan penalti, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di padang SMK Za’ba, pada Jun lalu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali dan jurulatih pasukan, Mohd Hakimi Ramli.