Faktor sosioekonomi seperti persekitaran dan taraf hidup antara penyumbang utama kepada permasalahan ponteng.

Timbalan Pengarah Pendidikan, Pejabat Pendidikan Wilayah Keramat, Kuala Lumpur (KL) Asiah Husin berkata, pihaknya misalnya sentiasa mengambil tindakan bagi mengatasi
isu ponteng ini.

"Dalam Anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) juga menggariskan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai pemangkin dalam menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti secara menyeluruh bagi menyelesaikan isu ini.

"Contoh terbaik bagi zon Keramat, sebuah sekolah menengah di Setiawangsa sebelum ini pernah paras pontengnya di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI), namun sekarang mereka telah berjaya melepasinya," katanya.

Menurutnya, dalam hal ini PIBG memainkan peranan dan memantau.

Walaupun belum mencapai tahap 90 peratus, namun peratus kehadiran pelajar di zon Keramat sudah meningkat hasil kerjasama sekolah dan ibu bapa.

Menurutnya, selain itu ada juga pihak prihatin membantu di Zon Keramat dan Kuala Lumpur, seperti dilakukan sebuah yayasan dengan memberi kupon kepada pelajar susah untuk menggalakkan mereka pergi ke sekolah.

"Selain itu, yayasan terbabit juga memberi kupon makanan di zon Keramat bagi 100 pelajar terpilih yang sudah dijalankan sejak awal tahun lagi. Kita difahamkan, bantuan
kupon ini pun hendak diperluaskan lagi.

"Memang kita mengharapkan kerjasama semua dalam perkara ini. Apalagi isu ponteng ini lebih tinggi kalangan pelajar tinggal di bandar," katanya.

Ambil berat, tegas dan mesra. Itu pendekatan boleh digunakan golongan pendidik untuk menarik pelajar ke sekolah sekali gus mengelakkan gejala ponteng.

Asiah

Asiah berkata, ada dua perkara utama boleh diberikan oleh guru kepada pelajar bagi menangani isu ini.

"Pertama, hak kepada pelajar untuk mendapat pengajaran dan pembelajaran (PdP). Apabila mereka seronok ada orang seperti guru ambil berat mengenai pelajaran mereka, pastinya mereka juga suka untuk datang ke sekolah.

"Kedua, boleh wujudkan budaya kerja penyayang di sekolah. Misalnya cikgu boleh bantu selidik latar belakang pelajarnya yang ponteng. Sama ada miskin hingga tiada wang hendak ke
sekolah atau mereka ini nakal yang biasanya hendakkan perhatian," katanya.

Asiah berkata, pengalamannya yang pernah menjadi guru disiplin sebelum ini juga menggunakan pendekatan yang sama.

Menurutnya, pelajar-pelajar terbabit sebenarnya boleh dibentuk.

"Inilah bidang kerja kita sebagai guru. Sebab itu guru yang sejati, bukan sahaja bertugas untuk mengajar dan menyampaikan ilmu, tetapi dalam masa sama mendidik pelajar," katanya.

AFIZUL

Cikgu perlu kreatif

Dalam pada itu, CR Afizul Mohamad yang juga Perunding Motivasi Power Action Resources memberi pandangan, biasanya pelajar ponteng akan dilabelkan sebagai pelajar nakal.

Menurutnya, bagaimanapun pada masa hadapan biasanya golongan terbabit akan berjaya kerana mereka bersikap lebih aktif dari segi kemahiran dan kreativiti.

"Pelajar terlibat biasanya ponteng kerana bosan dengar cikgu hanya 'bercerita'. Jika pengajaran terlalu teknikal mereka pun tak suka. Jadi mungkin cikgu perlu lebih kreatif dengan pembelajaran hands-on dalam kelas.

"Saya pun ada rakan cikgu mengajar di kelas yang ramai ponteng dan nakal. Majoriti cikgu pun tak mahu masuk kelas itu. Namun apa rakan saya buat, dalam kelas itu dia bawa masuk sekali makanan dan gula-gula untuk tarik perhatian, tugasan misalnya dalam bentuk lakonan dan banyak lagi kaedah kreatif," katanya.

Menurutnya, impak positif dapat dilihat dimana pelajar nakal terbabit jadi lebih mesra dan berminat untuk terlibat aktiviti dalam kelas.