KUALA TERENGGANU - “Utamakan yang utama”, itu rahsia Cikgu Md Azmi Abd Aziz, 56, ketika ditanya komitmen masanya bersama 31 badan bukan kerajaan (NGO) yang disertainya sehingga kini.

Md Azmi atau suka biasakan diri sebagai cikgu berkata, dia tidak pernah mengabaikan mana-mana NGO yang disertai walaupun dalam jumlah yang banyak kerana bijak mengurus masa.

Menurutnya, dia mempelajari cara menguruskan masa melalui kursus yang pernah dihadiri sebelum ini, dan impaknya sangat besar kepada dirinya.

Diminta berkongsi tip pengurusan masa yang sering dilakukannya sehingga berjaya menyiapkan semua tugasan tepat pada waktunya, cikgu Azmi berkata, dahulukan tugasan yang baharu diterima walaupun ‘deadline’ masih awal.
 
“Dapat saja tugasan, terus buat biarpun perlu diserahkan dua minggu lagi kerana kita tak tahu dalam masa dua minggu itu, mungkin akan ada tugasan baru atau kecemasan yang menyebabkan kerja kita tertangguh.

“Sebab itu perlu buat segera dan jangan suka bertangguh kerana ini akan membuatkan kita tertekan,” katanya pada majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebor Besar, di sini.

Cikgu Azmi melambai tangan kepada murid-muridnya sambil berjalan menuju ke pintu pagar sekolah sebelum pergi meninggalkan pekarangan sekolah SK Kebor Besar.

Dalam masa sama, Cikgu Azmi turut menyarankan semua guru di seluruh negara mahupun sesiapa sahaja sama ada kakitangan kerajaan atau swasta, turut menghadiri kursus pengurusan masa.

“Selain kursus, kita (guru) perlu banyakkan membaca untuk mengetahui cara mengurus masa, lagipun cikgu sendiri tahu, tugas sebagai seorang guru juga banyak tanggungjawab yang perlu diambil.

“Terutama guru muda, mereka perlu mempelajari cara urus masa dengan betul supaya tidak tertekan dan sebagainya yang boleh mengganggu pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas sekali gus menjaga reputasi kerjaya,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya perancangan selepas tidak lagi terlibat dalam dunia pendidikan, bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, dia akan memberi komitmen sepenuhnya terhadap 31 NGO yang disertainya.

“Lepas ni cikgu bolehlah menghabiskan masa bersama 31 NGO yang cikgu sedang sertai sekarang. Kebanyakannya (NGO) melibatkan komuniti dan dalam masa sama boleh luangkan masa dengan keluarga,” kata datuk kepada tiga cucu ini.