Abad 21 banyak mengubah corak pengajaran dan pembelajaran. Perubahan positif ini adalah bagi memastikan apa yang kita lakukan seiring dengan perkembangan teknologi dan kemajuan dunia zaman sekarang.

Dikongsi  beberapa ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang guru pada abad 21.

Selamat beramal!

 

Menguasai subjek

Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang diajar. Tentu agak canggung jadinya jika guru sendiri masih terkial-kial untuk menerangkan sesuatu kandungan dalam subjek  kepada pelajar.


Mahir dan berketerampilan

Guru haruslah mahir dalam menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang betul semasa menjalankan PDP di dalam kelas. Pembelajaran yang pelbagai ini tentu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar.


Memahami perkembangan dan menyayangi murid

Psikologi pendidikan juga menerapkan kepentingan bagi seseorang guru untuk faham akan perkembangan muridnya, serta mampu menyayangi mereka seadanya. Guru abad 21 harus mampu  menilai perkembangan murid sesuai dengan kebolehan mereka.


Memahami psikologi pembelajaran

Guru abad 21 juga berupaya untuk memahami psikologi pembelajaran bagi  pelajarnya. Memahami minat dan respons  pelajar ketika belajar, membantu guru itu berfungsi dengan lebih baik sebagai  pendidik.


Kemahiran kaunseling

Guru juga perlu mempunyai kemahiran kaunseling ketika berurusan dengan pelajar. Kemahiran membantu pelajar menangani emosi, sosial dan juga pelbagai lagi perkara yang menjadi masalah kepada golongan remaja adalah kelebihan untuk guru-guru dalam menangani isu-isu berkaitan dalam dan luar bilik darjah.


Penggunaan teknologi terkini

Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi terkini merupakan salah satu ciri penting bagi guru abad 21. Selain daripada murid yang memang mahir dengan penggunaan gajet dan pelbagai alatan elektronik lain, guru juga perlu seiring dalam menggunakan kelebihan ini bagi menarik minat pelajar untuk belajar. Penggunaan lcd, game, aplikasi mobile sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam kelas.