Guru-guru yang cemerlang bukan sahaja cemerlang diri, bahkan dapat melahirkan generasi yang cemerlang. Tetapi, tahukah anda bahawa menjadi guru cemerlang tidak semudah yang difikirkan. Pendekatan dahulu tidak sama dengan generasi pelajar kini. Nah, GPS Bestari ada beberapa saranan untuk anda praktikkan.

 

1.       Lokasi

Kebanyakan guru akan berfikir cara kreatif untuk menawan hati pelajar-pelajarnya. Manakan tidaknya, dalam sesebuah kelas pastinya terdapat golongan pelajar yang mudah mengantuk, buat hal sendiri, tidak sukakan subjek tersebut dan pelbagai lagi. Jadi, guru perlu kreatif dalam pengajaran. Lazimnya, guru akan mengajar di luar kelas untuk mengambil angin dan suasana baru. Pastinya mengajar di bawah pokok di tepi padang menjadi pilihan ramai guru.

 

2.       Kreatif

Teknik mengajar perlulah kreatif! Ye, profesion guru sememangnya memerlukan seseorang yang kreatif. Guru perlu tawan hati pelajar untuk demi menarik minat mereka. Apatah lagi, kalau terdapat segelintir pelajar yang nakal dan tak fokus di dalam kelas. Penggunaan alat bantu mengajar ternyata mampu menarik pelajar untuk lebih fokus dan menghayati pembelajaran. Begitu juga dengan penyertaan pelajar seperti lakonan mahupun aktiviti berkumpulan untuk memberikan lebih pemahaman tentang sesuatu subjek.

 

 

3.       Pujian

Usah kedekut dengan pujian. Berikan pujian kepada setiap jawapan yang pelajar berikan walaupun kurang tepat. Ini akan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk menyertai sesi soal jawab bersama guru. Jika jawapan yang diberikan adalah salah, usah merendahkan mereka sebaliknya cuba berikan klu untuk mereka mendapatkan jawapan yang betul atau paling hampir.

 

4.       Ganjaran

Untuk merancakkan lagi sesi pembelajaran, guru boleh mengambil inisiatif sendiri dengan membeli pensel, buku nota kecil, atau gula-gula untuk diberikan kepada yang berjaya menjawab soalan, menyiapkan latihan lebih awal daripada masa yang ditetapkan ataupun apa saja yang mampu membuatkan seorang itu gembira semasa sesi kelasnya.

 

5.       Perhatian Pada Semua

Ok, ini paling penting. Ketika mengajar, guru perlu latih anak mata supaya memandang ke wajah semua pelajar. Ini untuk mengelakkan pelajar yang agak lemah berasa dihargai dan diperlukan. Berikan mereka peluang untuk menjawab soalan dan pastinya mereka akan lebih fokus selepas itu. Tidaklah mereka rasa yang guru hanya fokus dan meminta jawapan daripada pelajar yang bijak sahaja.

 

Bukan Itu sahaja, pancing idea mereka sebanyak-banyaknya. Ini untuk melatih mereka mendengar perbezaan pendapat dan ilmu berinteraksi dengan orang lain, tidak kira sesama rakan, guru, orang tua ataupun sesiapa saja yang mereka temui.

 

6.       Maksimakan teknologi

Guru juga boleh menggunakan pelbagai gajet dan manfaatkan teknologi yang ada seperti komputer riba, Internet dan projektor untuk mengubah fokus pelajar daripada benda statik

di atas buku teks kepada yang bergerak. Melaluinya, pembelajaran akan lebih terlihat segar, bervariasi dan sering terdedah dengan informasi terkini.

 

 

7.       Variasi

Usah jadikan kelas anda hambar dengan pembelajaran semata-mata. Selepas 15 minit mengajar, apa kata selitkan soalan kuiz untuk memastikan otak pelajar sentiasa segar dan fokus. Selain itu, boleh segarkan kembali dengan aktiviti bersama seperti melakukan regangan dan senaman otot. Cuba jadikan keadaan itu melucukan. Tentu gamat seketika kelas anda! Selepas itu, pastinya pelajar akan menjadi lebih bersemangat.