KEMAMAN – Pertubuhan Jurutera Petroleum Seksyen (SPE) Terengganu akan mengadakan Minggu Teknologi SPE Terengganu 2016 yang akan berlangsung di Resorts World Kijal pada 29 dan 30 Julai ini.

Pengarah SPE Terengganu, Md Mazlan Tamyis berkata, pelaksanaan program itu seiring dengan misi SPE untuk mengutip, menyebar dan bertukar pengetahuan teknikal mengenai eksplorasi, pembangunan serta pengeluaran sumber minyak dan gas, selain menyediakan peluang kepada golongan profesional untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Kata beliau, program selama dua hari itu juga akan dimeriahkan dengan pertandingan mewarna, melukis, kejohanan golf dan makan malam gala.

Pertandingan mewarna akan melibatkan penyertaan sebanyak lapan tadika iaitu Tadika Al-Hidayah Kemasik, Tadika Ar Rahman Kerteh, Tadika Kemas Kemasik, Tadika Kemas Kerteh, Tadika An Nur Kerteh, Tadika Khalifah Cerdik Kerteh, Tadika Smart Reader Kerteh dan Tadika Bukit Mentok.

Pertandingan melukis pula membabitkan lima pihak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Petronas yang juga sekolah angkat SPE, Sekolah Rendah Islam Al Amin Kerteh, SK Kerteh, SK Kampung Baru Kerteh dan Neu Dimension.


Md Mazlan

Sementara itu, Guru Besar SK Rantau Petronas, Khadijah Sulaiman berkata, penglibatan dalam Minggu Teknologi SPE Terengganu memberi pendedahan kepada murid mengenai industri minyak dan gas, seterusnya merangsang mereka untuk menceburi bidang berkenaan disebabkan minyak dan gas merupakan industri utama di daerah ini.

Dalam pada itu, Ketua Panitia Pendidikan Seni Sekolah Rendah Islam Al Amin Kerteh, Wan Nurul Syafawati Wan Ahmad berkata, pelantar minyak yang dijadikan sebagai objek dalam pertandingan melukis, memberi cabaran tersendiri kepada murid.

Wan Nurul Syafawati memberi tunjuk ajar kepada murid sebagai persediaan menyertai pertandingan melukis anjuran SPE Terengganu.