Jom ke Perpustakaan Desa Felda Lembah Bilut

FELDA LURAH BILUT- Program Gempak Promosi Keahlian dan Perkhidmatan Perpustakaan Desa Felda Lurah Bilut merupakan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan khusus untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat. 

Pembantu Pustakawan, Sahidah Abdul Ghani berkata, program itu diadakan sebagai platform kepada masyarakat di luar bandar termasuk kanak-kanak, belia dan dewasa menimba ilmu menerusi pembacaan bahan-bahan berilmiah.

Menurutnya, program seumpama itu juga dilihat berpotensi dalam mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan selain mampu menangani masalah sosial yang membabitkan remaja.

“Ibu bapa boleh gunakan peluang cuti hujung minggu untuk bawa anak-anak ke perpustakaan ini. Masa anak-anak dapat dimanfaatkan selain dapat menambah ilmu yang sepatutnya.

“Antara perkhidmatan yang disediakan di perpustakaan desa ini ialah keahlian percuma, penggunaan internet, ruang khusus untuk mengadakan aktiviti bagi semua golongan dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Tambahnya, perolehan ilmu itu diharap dapat melatih kefasihan berbicara serta menambah fakta-fakta baru dan memperlengkapkan fakta sedia ada.

“Pemikiran pembaca seterusnya dapat mempertajamkan kesedaran sivik, sosial, ekonomi, politik, sejarah dan isu-isu berbangkit masa kini.

“Pembentukan sesuatu budaya bukanlah proses mudah dengan penghasilan dan pencapaian serta-merta. Ia memerlukan proses panjang dan memerlukan semangat serta iltizam untuk memastikan ia tercapai,” katanya.