IPOH - Karnival Pendidikan Mara 2016 peringkat negeri yang berlangsung Sabtu ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng, dijangka mampu menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Seramai 62 agensi terdiri daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Institut Pendidikan Mara (Ipma) seperti Giat Mara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Profesional Mara, Kolej Poly-Tech Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Universiti Kuala Lumpur, mengambil bahagian dalam karnival selama dua hari itu.

Pengarah Mara Perak, Teh Arfah Kamarulzaman berkata, penganjuran karnival itu merupakan platform terbaik kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)  mendapatkan panduan secara terus tentang pemilihan tempat melanjutkan pelajaran.

Menurutnya, banyak maklumat berhubung tawaran pengajian tinggi daripada pelbagai IPT diperoleh hanya dengan berkunjung ke karnival tersebut.

“Malah kelayakan dalam setiap pengajian turut didedahkan bagi memudahkan ibu bapa membuat perancangan mengikut bajet sekali gus memastikan anak-anak berjaya dalam bidang akademik.

“Kita membawakan promosi pengajian tinggi untuk membantu pelajar yang berminat dalam mencari peluang-peluang pengajian diminati,” katanya.

Katanya, orang ramai yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan muzikal di samping beberapa aktiviti sampingan untuk pengunjung pelbagai lapisan umur antaranya pertandingan mewarna, senamrobik dan lain-lain.

Teh Arfah berkata, karnival kali ini sedikit berbeza apabila pihaknya turut menjemput Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi sebagai panel untuk seminar keusahawanan yang akan diadakan.

“Beliau akan bercerita mengenai bidang animasi yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja. Mereka yang berminat boleh mengikuti seminar secara percuma ini,” katanya.