SERI ISKANDAR – Cabaran Debat Muda 2121 (CDM 2121) anjuran Kelab Debat Universiti Teknologi Petronas (UTP) membuka peluang kepada pelajar sekolah untuk menyertai pertandingan itu yang akan berlangsung pada 1 hingga 4 April ini.

Pengarah Projek, Syazatul Atikah Raman berkata, pertandingan debat yang diadakan buat kali keempat di UTP ini berbeza daripada sebelumnya kerana penyertaan dibuka kepada pelajar sekolah.

Tambahnya, pertandingan ini dibuka kepada pelajar yang berusia 21 tahun ke bawah kerana ianya pertandingan debat peringkat junior. Menurutnya, dijangka 200 peserta membabitkan 40 pasukan dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah seluruh Malaysia akan berentap dalam CDM 2121.

“Pada kali ini, kita menjemput pelajar sekolah untuk menyertai CDM 2121 bagi mengasah bakat dalam debat memandangkan pemikiran mereka berbeza dari peserta  IPT.

“Bagaimanapun, apa yang lebih mengejutkan, ada dalam kalangan pelajar sekolah yang  mampu berfikir lebih jauh berbanding pelajar IPT dan mereka juga mampu untuk bersaing dengan pihak lawan yang lebih berusia daripada mereka.