KUALA TERENGGANU - Kebolehan dan kemahiran dalam aspek pengedalian sesuatu majlis atau acara perlu didedahkan kepada para pelajar, khususnya buat seseorang pengawas.

Bergerak atas kepentingan itulah maka Lembaga Pengawas Sekolah SMK Sultan Sulaiman membuka ruang dan memberi peluang seluas-luasnya buat para pengawasnya belajar bagaimana mengurus-selia sesuatu majlis.

Menurut Cikgu Ibrahim Ahmad yang juga salah seorang Guru Penasihat Lembaga Pengawas sekolah berkenaan, ilmu dan kemahiran cara-cara mengelolakan perjalanan sesuatu majlis amat mustahak difahami oleh para pengawas.

Beliau berkata, "Selama ini apa-apa majlis di sekolah lebih banyak diurus kendalikan oleh guru-guru. Jadi, kami di sini tidak mahu para pengawas sekadar mampu bertindak sebagai pembantu sahaja, sebaliknya apa yang kami hasratkan ialah untuk melihat adanya kekuatan baharu dalam kalangan pengawas mengupayakan diri untuk mengurus sendiri dalam kumpulan bagaimana menjayakan sesuatu majlis."

Para pengawas di bahagian pengacaraan bersedia dengan tugasan mereka memulakan perjalanan majlis.

 

Selain itu, Cikgu Ibrahim juga melahirkan impiannya untuk menyaksikan majlis-majlis besar yang diadakan di sekolah juga mampu dijalankan oleh para pengawas.

Tambah beliau lagi, "Asas-asas kemahiran pengendalian majlis meskipun nampak seakan-akan sukar dan rumit untuk dilakukan oleh pengawas, tetapi andainya kita dapat berikan dedahan dan berikan mereka latihan berbentuk simulasi majlis, maka tidak mustahil mereka akan berjaya melakukannya dengan kaedah yang terbaik.

Ini kerana mereka adalah anak-anak muda yang berfikiran kreatif dan memiliki banyak idea baharu. Jadi, mengapakah kita sebagai guru tidak mahu memberikan peluang kepada mereka untuk mencubanya?"

Sementara itu, Timbalan Ketua Pelajar SMKSS, Hazim Wafiq b. Mohd melahirkan rasa gembiranya atas kesediaan pihak guru pengurusan Lembaga Pengawas SMKSS yang memberi peluang kepada setiap pengawas untuk berusaha mengikut kadar yang termampu bagi urus selia pengendalian sesuatu majlis.

Kata Hazim Wafiq yang kiga seorang pelajar tingkatan 5 Dedikasi beraliran Sains Tulen itu lagi, "Hasil berkat usaha gigih dan tidak malu bertanya serta sikap tidak berkecil hati atas kritikan para guru dalam sesi latihan simulasi majlis, maka kami berjaya menampilkan sendiri proses perjalanan Majlis Penutupan Siri Latihan Jati Diri yang diadakan di Dewan Auditorium Besar ,Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang baru-baru ini."

"Bukan mudah majlis besar sebegini dapat disempurnakan, tambahan pula ia dihadiri oleh Tiimbalan Komandan ABPM sendiri. Memang gementar juga saya kerana dibayangi kerisauan kalau-kalau majlis yang dipertanggungjawabkan kepada kami itu gagal atau terdapat kecacatan di sana - sini.

Alhamdulillah syukur ,akhirnya kami berjaya tunjukkan kepada warga dewan pada hari itu yang kami sebagai pengawas sekolah juga berupaya melaksanakan perjalanan sesuatu majlis besar dengan proses yang amat baik sekali. Saya ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua rakan saya dalam Lembaga Pengawas atas kerjasama padu mereka menjayakan majlis ini." kata Hazim Wafiq.

Di bahagian pendaftaran majlis.