GONG BADAK – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak komited bagi membantu pengurusan sekolah untuk meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan anak-anak.


Mantan Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Kompleks Gong Badak, Wan Zuraidi Wan Zaid berkata, meskipun hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa telah sedia terjalin sebelum ini, namun pihaknya berusaha memperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan aktiviti secara bersama.


“Terkini, kita baru selesai mengadakan Program Ibu Bapa, Sekolah dan Masyarakat (Prisma) dengan berjaya menghimpunkan penglibatan lebih 1,000 masyarakat dan juga ibu bapa.


“Perkembangan positif itu juga turut memperlihatkan ibu bapa sememangnya menyokong aktiviti yang diadakan dalam usaha untuk memastikan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak tercapai.


“Oleh itu, kita berhasrat untuk mempelbagaikan lagi aktiviti pada masa akan datang membabitkan ibu bapa dan pihak sekolah kerana kejayaan anak-anak sukar dicapai jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak,” katanya ketika ditemui pada perasmian Prisma 2016 di SK Kompleks Gong Badak, di sini.


Menurut Wan Zuraidi lagi, program yang berlangsung selama dua hari itu bukan sahaja dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk ibu bapa dan pelajar, malah menjadi medan terbaik untuk berkongsi pandangan serta pendapat bagi meningkatkan lagi  kemajuan sekolah.


“Penglibatan ibu bapa dan masyarakat ini juga diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dan melihat sekolah yang telah berusia lebih 20 tahun ini terus melahirkan pelajar yang cemerlang,” katanya.