Memegang jawatan selaku Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah kawasan bandar pastinya memberikan tekanan bagi individu yang menggalas tanggungjawab tersebut.

Namun semua itu kini digalas A Halim Paiman, 44, yang dipilih dalam Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 (SKS7) Bandar Baru Bangi, Januari lalu.

Baginya tanggungjawab yang diamanahkan itu akan dilaksanakan sebaik mungkin agar sejajar dengan fungsi utama penubuhan PIBG.

"Memang tidak dinafi kan apabila memegang tampuk selaku YDP di sekolah kawasan bandar pastinya ada pelbagai rintangan dan pandangan daripada ibu bapa.

"Boleh dikatakan rata-rata latar belakang ibu bapa murid-murid SKS7  ini terdiri daripada golongan atasan, pertengahan dan bawahan. Semua ini perlu kita tangani dengan berhemah tanpa menjejaskan objektif utama PIBG itu.
"Semua teguran dan cadangan yang dikemukakan akan diambil perhatian dan dibincangkan bersama sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya yang sebelum ini menggalas jawatan selaku Naib YDP sekolah berkenaan.

A Halim turut menjelaskan, antara persoalan utama yang dikemukakan dalam mesyuarat PIBG SKS7 adalah membabitkan tahap keselamatan muridmurid. 

"Aspek keselamatan sememangnya menjadi fokus utama PIBG apabila
kita meletakkan anggota Rela untuk memastikan keselamatan murid semasa datang dan pulang dari sekolah.

"Selain itu tumpuan peningkatan prestasi murid turut diberikan  perhatian dengan mengadakan tuisyen percuma setiap hari Ahad kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan," jelasnya yang memaklumkan SKS7 mempunyai kira-kira 2,700 murid dan yang paling ramai di Hulu Langat.

Mengulas sambutan ibu bapa setiap kali penganjuran program diadakan, A Halim memuji sokongan berterusan  ibu bapa bagi memastikan kelancaran sesuatu program itu.

"Sokongan bagi saya amat memuaskan, walaupun kita lihat kebiasaannya apabila berada di kawasan bandar, ruang dan masa ibu bapa terhadap program anak sedikit terhalang. "Tapi ia tidak berlaku di sini dan inilah yang membanggakan kami semua," katanya.