TIKAM BATU - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda terus mengorak langkah menyampaikan maklumat mengenai bahaya dadah kepada 250 waris murid Sekolah Kebangsaan (SK) Berapit, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Shamsuri Yusoff berkata, pendedahan ilmu berkaitan dadah kepada ibu bapa dapat membantu mengawasi pergerakan anak mereka.

Menurutnya, menerusi ‘Program Sarana Ibu Bapa dan Wacana Waris 2016’ SK Berapit dipilih kerana kawasan Kampung Berapit mempunyai rekod tangkapan yang agak tinggi.

“Dalam operasi yang lepas, pihak AADK menahan seorang 'tokan' dadah yang menjalankan aktiviti membungkus dan menjual dadah di dalam kampung berkenaan.

“Oleh itu, pihak kami memilih waris murid  untuk didedahkan mengenai ilmu bahaya dadah kerana ibu bapa merupakan golongan yang terdekat dengan anak-anak ketika di rumah," katanya.

Kata beliau, guru menjalankan tugas mendidik dan menjadi mata serta telinga ketika mereka di sekolah,” katanya.

Shamsuri berkata, dadah merupakan satu perkara yang perlu diberikan perhatian khusus terutamanya kepada murid sekolah rendah.

“Oleh itu, menerusi program sebegini, memberi manfaat kepada semua pihak untuk menangani isu dadah yang semakin membimbangkan.

“Tambahan pula isu ketum mula menghantui murid sekolah rendah yang menjadi mangsa hasil daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, pihak AADK Daerah Kuala Muda akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan murid sekolah tidak terlibat dengan penagihan dadah.