TEMERLOH – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Temerloh menggunakan bantuan beberapa jabatan dan agensi kerajaan bagi membersihkan semak di belakang sekolah yang menjadi tumpuan sekumpulan kera liar.

Yang Dipertua PIBG SK Bandar Temerloh Mokhtar Abdul Mubin berkata, semak antara sempadan sekolah dengan sebuah taman permainan di kawasan itu menjadi tempat kera liar dan perlu dibersihkan.

Menurutnya, memandangkan gotong-royong yang diadakan semalam berlangsung pada hari bekerja, maka pihak PIBG terpaksa meminta bantuan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk membantu.

“Mereka juga datang dengan kelengkapan masing-masing dan ini sudah tentu banyak membantu sekolah yang mempunyai kelengkapan dan peralatan yang agak terhad,” katanya pada Gotong-royong Perdana SK Bandar Temerloh, Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Perpisahan Guru yang diadakan di sini, semalam.

Turut hadir, Guru Besar SK Bandar Temerloh, Raja Ibrahim Raja Deraman.