PONTIAN - Persatuan Ibu Bapa dan Guru  (PIBG) disarankan menjadikan forum sebagai medan perbincangan mengenai masalah sekolah demi mencapai kecemerlangan akademik.

Pengerusi Biro Pembangunan Sosial Umno Bahagian Tanjung Piai, Dr Mohd Isa Ismail berkata, kaedah dan pendekatan forum dilakukan banyak membantu sekolah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

Katanya, sebagai penghubung antara ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah, PIBG juga berperanan membantu pihak sekolah dalam bidang kurikulum, ko-kurikulum, sahsiah dan budaya.

Menurut  beliau, di negara maju pula, PIBG kerap mendedahkan pelajar dengan aktiviti di luar sekolah bagi mendedahkan mereka mengenai kemajuan terkini.

“Kedua-dua pihak, PIBG dan pentadbir sekolah saling memerlukan antara satu sama lain bagi memajukan bidang pendidikan kepada pelajar, sama ada di bandar atau di luar bandar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pekan Nanas, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Dipertua PIBG SK Melayu Raya, Adam Yusof, Guru Penolong Kanan SK Melayu Raya, Samsul Satari dan Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohd Khairul Azlan Mohd Khodri.

Tambah Mohd Isa, fungsi PIBG akan dilaksanakan dengan baik sekiranya mempunyai kepimpinan serta barisan ahli jawatankuasa yang komited  serta mendapat sokongan ibu bapa pelajar.

"Kepimpinan yang baik menjadi penentu sejauh mana PIBG dapat membawa hala tuju mereka seiring dengan keperluan pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025,” ujarnya.

Menurut beliau, dengan adanya PIBG, sekolah boleh menyalurkan segala maklumat mengenai dasar pendidikan terkini dan menjadi orang tengah jika berlaku pertikaian antara pihak sekolah dan ibu bapa.