KUALA SELANGOR – Prasarana dan kebajikan guru menjadi fokus utama perbincangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Parlimen Kuala Selangor di daerah ini.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, penubuhan Majlis Permuafakatan PIBG Parlimen Kuala Selangor itu penting sebagai platform mengetengahkan isu berbangkit
berkaitan pendidikan.

Menurutnya, Majlis Permuafakatan PIBG Parlimen Kuala Selangor ini adalah satu penubuhan yang julung kali diwujudkan bagi memperkukuhkan hubungan kepimpinan
sekolah.

“Saya menyokong penubuhan majlis permuafakatan seperti ini kerana melibatkan pengetua, guru besar, pengerusi PIBG dan pemimpin setempat sekali gus dapat menghimpunkan mereka di bawah satu bumbung. “Saya juga boleh menggunakan platform seperti ini untuk mendengar pandangan dalam memastikan kecemerlangan pendidikan dalam parlimen ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada majlis yang turut disertai Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Shashim Shah Harun dan Yang Dipertua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
Persekutuan (JKKKP) Parlimen Kuala Selangor, Datuk Ishak Haron.

Irmohizam yang juga Presiden Majlis Belia Selangor berkata, majlis permuafakatan itu boleh membantunya mengetengahkan isu masalah infrastruktur sekolah dan kebajikan guru kepada kementerian
berkaitan.

“Sudah menjadi fokus perjuangan saya untuk mengetengahkan isu kebajikan guru dan masalah berbangkit supaya warga pendidik di Parlimen Kuala Selangor dapat perhatian sewajarnya.

“Saya juga berharap upacara pelancaran majlis permuafakatan ini dapat dijayakan seperti yang dirancang dan dijangka dirasmikan Menteri Pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dalam masa terdekat,” katanya.