PONTIAN - Puteri Umno Bahagian Tanjung Piai tampil menawarkan khidmat gunting rambut percuma ketika sesi pendaftaran kemasukan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Selangor.

Ketuanya, Rahiman Ithnin berkata, program kali ini berbeza kerana dilakukan di sekolah bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

“Bagi memastikan setiap murid mematuhi disiplin dan peraturan di sekolah, kebersihan diri terutama rambut bagi murid lelaki amat penting. Oleh itu, kita bekerjasama dengan sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, SK Parit Selangor, Mohd Anuar Sanib berkata, usaha itu mendapat sambutan baik daripada ibu bapa, malah ada yang mahu program gunting rambut percuma ini diadakan setiap kali sekolah mula dibuka.

Menurutnya, kos sara hidup yang tinggi ditambah dengan barangan persekolahan semakin meningkat merunsingkan ibu bapa.

“Bila ada khidmat gunting rambut secara percuma ini ia dapat membantu. Kos gunting rambut di antara RM5 hingga RM7. Jika sebuah keluarga punya lima anak lelaki bersekolah, pastinya kos tinggi ditanggung untuk upah gunting rambut saja,” katanya.