ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pendidikan mengucapkan tahniah kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah memulakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah.

Timbalan menterinya, Datuk P Kamalanathan berkata pihaknya akan mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan, Keceriaan dan Kesihatan (3K) memantau serta menghapuskan tempat air bertakung, yang berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

“Sepanjang cuti persekolahan selama seminggu sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula minggu depan ini, kami akan terus memantau persekitaran sekolah dan menggalakkan gotong-royong dilakukan dengan membersihkan tempat takungan air.

“Selain pemantauan oleh Jawatankuasa 3K, kami turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan tiada penularan demam denggi khususnya di kawasan persekitaran sekolah," katanya.

Beliau berkata ketika sidang media selepas merasmikan Program English Mania & Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) di Legoland Malaysia Resort, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Johor, Aminudin Adam dan Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort, Mark Germyn.

Dalam pada itu, Kamalanathan turut memuji usaha Legoland Malaysia Resort menganjurkan Program English Mania dan Stem bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pada masa sama menarik minat dalam bidang Sains serta Matematik.

“Kementerian juga mengalu-alukan pelbagai syarikat untuk jalin kerjasama tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

"Jika di Johor, pihak sekolah boleh datang ke Legoland, manakala di Kuala Lumpur, Kidzania turut terlibat dalam penganjuran Minggu Bahasa Inggeris," katanya.

Kata beliau, tidak semua negeri mempunyai resort atau syarikat seperti Legoland dan Kidzania, tetapi mereka boleh bergerak secara mobil untuk ke sekolah khususnya di pedalaman.

"Kami akui pelajar di pedalaman kurang peluang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Mereka hanya mempelajari bahasa antarabangsa ini ketika subjek bahasa Inggeris di sekolah dengan purata 30 hingga 40 minit sehari," katanya.

Kata Kamalanathan, tempoh belajar dalam kelas tidak mencukupi, justeru platform belajar di bilik darjah secara santai dan menyeronokkan seperti dilaksanakan di Legoland
juga memenuhi silibus ditetapkan kementerian.