LUKUT - Sikap ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut yang tidak lokek mewakafkan wang ringgit serta barangan kepada sekolah menyumbang kepada pemodenan dan pembelajaran di sekolah berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mejar (b) Faizan Saidin berkata, ibu bapa turut melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti dan program sekolah dalam usaha membentuk pembangunan akademik, sahsiah serta kokurikulum murid.

“Dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa murid yang dikendalikan PIBG, kalau dibangkitkan kekurangan peralatan atau dana bagi sesuatu program dan projek, tak lama lepas tu, pasti ada yang tampil memberi sumbangan.

“Malah ibu bapa juga melibatkan diri dalam menghias dan menambah baik keceriaan di dalam bilik darjah anak masing-masing.

“Secara tidak langsung ia membina dan menambah minat anak-anak supaya suka ke sekolah, belajar dan duduk di bilik darjah yang dihias ibu bapa mereka serta mempunyai alat bantuan mengajar yang moden,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Hari Terbuka PDK Abad 21:PD Win School di sekolah itu baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Pendidikan daerah, Mohd Azwar Iqbal Mohd Tahir dan Guru Besar Cemerlang SK Lukut, Mohamed Noh Abdullah.

Sementara itu, Mohd Azwar Iqbal berkata, sebanyak 62 sekolah di daerah ini terlibat dengan projek PD Win School yang mula dilancarkan sejak akhir tahun lalu.

“Ia menekankan aspek kepimpinan murid, kualiti guru dan penglibatan ibu bapa komuniti termasuklah syarikat swasta untuk memacu kecemerlangan murid dalam pelbagai aspek.

“Untuk melengkapkan PDP abad ke-21 ini, 99 peratus guru di Port Dickson telah menjalani latihan intensif.

“Secara keseluruhan semua sekolah rendah di daerah ini telah pun mengamalkan PDP abad ke-21 dan diharap semua sekolah menengah segera laksanakan pendekatan sama bagi memastikan kesinambungan momentum pembelajaran murid dari sekolah rendah yang masuk ke sekolah menengah,” katanya.