BACHOK - Penyelaras Dun Perupuk, Datuk Dr Ilias Husain dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Perdana.

Dalam mesyuarat yang dijalankan baru-baru ini, beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan itu berdasarkan kredibilitiya dalam menyokong sektor pendidikan di Bachok.

Ilias berkata, beliau amat berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk memegang jawatan itu bagi sesi tahun                 ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ibu bapa dan ahli PIBG yang memilih saya untuk mengemudikan PIBG sekolah ini. Saya percaya sekolah ini sudah mempunyai track record yang cemerlang dalam pelbagai bidang akademik dan kokurikulum di peringkat daerah dan negeri.

“Insya-ALLAH saya akan cuba memberikan sokongan terbaik untuk warga sekolah ini terutamanya dalam melihat pembangunan pembelajaran anak- anak di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat PIBG SMK Dato’ Perdana, baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama juga diadakan sesi penyampaian Bantuan Awal Persekolahan kepada 311 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima.