DUNGUN - Semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh daerah ini akan menerima sumbangan RM1,000 bagi memantapkan pencapaian pelajar dan proses pengagihan akan dilaksanakan ke semua tabung PIBG terlibat.

Pegawai Pembangunan Daerah Dungun, Datuk Din Adam berkata, terdapat sebanyak 72 sekolah rendah dan menengah di Dungun manakala sumbangan merupakan usaha memastikan pencapaian pelajar berada pada tahap membanggakan.

"Kita menaruh harapan tinggi agar pelajar di daerah ini memperoleh kejayaan cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah diri dan kokurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pengarah Pendidikan Negeri Bersama Ibu Bapa Dan Pelajar Target Peperiksaan Awam Daerah Dungun 2016, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Abdul Mubin Ismail dan penyelaras program, Azhan Abd Rahim.

Sementara itu, Shafruddin menekankan kepentingan sokongan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan perlunya mereka meluangkan masa bersama anak-anak.

"Ibu bapa perlu menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bahagi dan digalakkan memberi penghargaan kepada anak-anak sama ada dalam bentuk pujian atau hadiah. Lebih penting mereka
perlu elak sikap pilih kasih antara anak-anak.

"Doakan kebaikan untuk anak-anak. Sokongan semua pihak adalah penting bagi memastikan pelajar mencapai kecemerlangan," katanya.