KUALA LUMPUR - Tidak lama lagi anak-anak kita akan menempuh peperiksaan besar pertama mereka dan pastinya kini adalah degupan kencang yang sedang mereka lalui.

Seiring dengan itu, Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul telah menganjurkan program pecutan akhir UPSR 2016 bertempat di Auditorium Elyas Omar Perpustakaan Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Seramai 150 murid tahun enam dari sekolah sekitar Zon Sentul terlibat dalam program sehari itu.

Pengerusi Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul juga Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul (1), Zainoddin Ramelan berkata tujuan utama program itu adalah untuk membantu murid menghadapi UPSR tidak lama lagi.

"Program ini juga untuk membantu pihak sekolah mencapai kecemerlangan terutamanya bagi sekolah-sekolah Zon Sentul ini.

"Selain itu, kita juga mendapat tajaan penuh oleh pihak Yayasan Bank Rakyat serta LA21 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah program e-Bandaraya.

"Urusetia program ini terdiri daripada ibu bapa murid sendiri," katanya.

Menurut Zainoddin lagi, program pecutan itu juga mendapat kerjasama dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari segi tenaga penceramah.

"Pihak kami telah memfokuskan kepada dua matapelajaran iaitu Sains dan Bahasa Inggeris," ujarnya.