SHAH ALAM - Kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan sekolah ibarat aur dengan tebing, perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.

Ini terbukti apabila PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul (1), Kuala Lumpur amat komited untuk lahirkan murid cemerlang dalam segala bidang.

PIBG SK Sentul (1) ditubuhkan sejak 37 tahun yang lepas untuk membina kesefahaman mengenai tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.

Di bawah pimpinan Yang Dipertua (YDP) Zainoddin Ramelan, pelbagai kejayaan dan sumbangan telah diperoleh sejak 2012 lagi.

YDP Zainoddin Ramelan


Menurut beliau, antara pencapaian paling besar PIBG SK Sentul (1) ini adalah merangkul Anugerah Cemerlang Peringkat Pejabat Pelajaran Wilayah Sentul dua kali berturut-turut pada 2012 dan 2014. Anugerah ini diadakan setiap dua tahun sekali.

"Pelbagai program yang kami jalankan bagi meningkatkan pencapaian murid dalam akademik yang berlangsung setiap tahun termasuk program motivasi, kelas tambahan di waktu malam dan hari Sabtu setiap minggu dengan kerjasama pentadbiran sekolah serta guru-guru.



"Kami juga sentiasa duduk semeja berbincang bersama pihak pentadbiran sekolah bagi menambah baik serta membantu pihak sekolah di dalam menjayakan pelbagai program demi kamenjadian murid serta berusaha menambah baik pasarana sekolah bagi menjamin keselesaan murid," katanya.

 

Kata beliau, PIBG sentiasa berdiskusi dengan ibu bapa serta waris murid bagi memastikan ibu bapa sentiasa dapat memberi sokongan kepada anak-anak di dalam pembelajaran di rumah. PIBG juga telah mengadakan program keibubapaan dengan penceramah jemputan Dato' Dr. Fadzilah Kamsah pada Mac lalu.



Pemantauan PIBG

PIbg juga telah menyediakan sebuah makmal komputer bagi pelajar mahir dalam pengunaan komputer. Ia disediakan secara percuma kepada pelajar serta dilengkapkan dengan kemudahan internet berkelajuan tinggi (Unifi).



"Kami sentiasa berkerjasama dengan pihak swasta dan juga komuniti dan menjadikan mereka ini sebagai rakan kongsi strategi bagi memudahkan PIBG memperoleh dana untuk menjalankan program yang telah dirancang sepanjang tahun. Antara rakan kongsi strategi PIBG SK Sentul 1 adalah seperti Yayasan Bank Rakyat, Local Agenda 21 DBKL, Yayasan Wilayah Persekutuan, Double Three Hilton dan lain-lain agensi serta komuniti setempat," katanya.


Tambah beliau lagi, mengambil maklum tentang peranan ibubapa di dalam pembelajaran anak-anak, PIBG telah melaksanakan program anak angkat kepada ibu bapa yang sedia membantu dengan sukarela. Program ini di jalankan setiap waktu semasa tiada aktiviti kelas tambahan di sekolah. Ianya dijalankan di rumah ibubapa angkat masing-masing dan program ini dipantau oleh PIBG serta juga guru-guru yang secara sukarela melaksanakan program ini.