KUALA KRAI - Majoriti murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krai terdiri daripada anak golongan berpendapatan rendah dan sederhana, disebabkan itu makanan sering dijamah kebanyakan kanak-kanak seusia jarang mereka nikmati kerana kemiskinan.

Justeru, sempena sambutan hari raya peringkat sekolah itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mencari sejumlah dana untuk menyediakan sate dan minuman berais dalam bekas besar yang mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Yang Dipertua (YDP) PIBG, Siti Azah A Moin berkata, sate dan minuman pelbagai perisa itu bukan makanan mewah bagi anak orang kebanyakan, namun taraf ekonomi keluarga tidak memungkinkan mereka membeli menyebabkan pihaknya mencari dana untuk menggembirakan murid sekolah itu.

"Harapan PIBG agar murid gembira apabila dapat menikmati makanan yang mahal bagi mereka dan sukar diperoleh. Cara ini salah satu alternatif untuk menarik minat murid ke sekolah," katanya.

Siti Azah berkata, usaha melahirkan murid cemerlang akademik dan kokurikulum tidak sukar jika mereka suka datang ke sekolah.

"Tahap kehadiran 90 peratus akan bertambah sekiranya aktiviti sebegini dapat dilaksanakan berterusan. Setiap masa kita akan cuba memikirkan cara untuk menarik minat murid ke sekolah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa gembira dengan kerjasama ditunjukkan Naib Yang Dipertua PIBG, Hassan Mamat serta ahli jawatankuasa PIBG SK Kuala Krai dalam melaksanakan pelbagai aktiviti untuk sekolah itu.

"Makanan untuk murid disediakan ahli jawatankuasa PIBG. Kita akan terus cari dana untuk bantu keperluan murid bagi memastikan mereka sentiasa ceria ke sekolah," katanya.

Menurut Siti Azah lagi, beberapa kenamaan termasuk Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman turut menyumbangkan bantuan bagi melaksanakan aktiviti di sekolah itu.