SHAH ALAM- PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Seksyen 2 dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Rekreasi Komuniti Parlimen Shah Alam akan menganjurkan program Mega Autoshow & Karnival Amal 2016 pada 7 Mei 2016.

Program yang dicetuskan  pada mesyuarat PIBG, bertujuan mencari dana  membantu sekolah menyediakan fasiliti dan prasarana untuk pelajar.

Ketua Pemuda Umno Shah Alam,  Datuk Ahmad Mua’dzam Shah  Ya’akop berkata, dana ini juga akan digunakan untuk menggerakkan program dan aktiviti tambahan bagi meningkatkan prestasi pelajar sama ada dalam akademik mahupun ko-kurikulum.

 “Antar program yang dirancang adalah mempopularkan sukan permotoran khususnya autoshow dalam kalangan masyarakat dan bertindak sebagai platform  membantu kerajaan mendekati golongan pelajar dan belia.

“Ia juga berfungsi bagi menyalurkan informasi tepat dan terkini kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran,” katanya.

Menurutnya, menerusi sukan permotoran yang mendapat sambutan pada masa kini, perpaduan komuniti belia pelbagai kaum dapat dipupuk.

“Dalam masa  sama, ia turut dapat membina modal insan belia kelas pertama seperti berdisplin, berakhlak dan berkemahiran, aktif serta mengamalkan gaya hidup berkualiti.

“Saya meletakkan harapan tinggi semua pihak dapat memberi kerjasama dan menjayakan apa yang dirancang,” katanya.

Mega Autoshow & Karnival Amal 2016 ini bakal melakar sejarah kerana ini adalah julung kali Sekolah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah melaksanakan karnival besar.