DANA Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) untuk melaksanakan sebarang program atau membaiki infrastruktur sekolah sentiasa tidak mencukupi kerana sikap ibu bapa yang enggan memberikan sumbangan.

Yang Dipertua PIBG SK Seksyen 27 (2), Mohd Zamri Mohd Yusoff berkata, ia akan menyebabkan PIBG tidak dapat menyediakan lebih banyak aktiviti, selain menyebabkan murid tidak dapat belajar dalam persekitaran selesa kerana masalah infrastruktur.

"Bagi tahun lalu sahaja kami belanjakan RM20,000 untuk membaiki tandas kerana murid mengadu tandas rosak dan kotor. Disebabkan kami dah belanjakan untuk baiki tandas, maka program untuk murid tak dapat kami laksanakan.

"Dalam keadaan ini, murid yang akan rugi kerana tiada pengisian program dapat kita buat untuk mereka," katanya.

Siling rosak juga masih gagal dibaiki kerana kekurangan dana.

Menurutnya, bagi tahun lalu, kurang daripada 60 peratus daripada 600 keluarga yang menyumbang kepada tabung PIBG sekolah itu.

"Kami juga sedang memikirkan untuk membuat pintu keempat di hadapan kawasan sekolah bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku setiap pagi di pintu utama sekolah.

"Namun, apa yang menjadi masalah adalah kami kekurangan dana dengan anggaran kira-kira RM20,000 diperlukan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan. Saya fikir jika semua ibu bapa membuat sumbangan, tiada masalah untuk memastikan pintu itu berjaya dibina dan sekali gus memudahkan ibu bapa dan murid juga," katanya.

Kekurangan dana menyebabkan tempat duduk rehat murid yang rosak tidak dapat dibaiki.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa untuk sentiasa membuat sumbangan dan tidak perlu risau dengan duit yang disumbangkan itu kerana PIBG mempunyai juru audit.

"Memang PIBG menghabiskan duit, tetapi kami menghabiskan duit untuk murid. Kita akan gunakan sepenuhnya duit tersebut selain lebih senang untuk kami beritahu ibu bapa ke mana duit itu dibelanjakan," katanya.

Ini pula kisah di sebuah sekolah yang membuatkan seorang guru berang apabila ibu bapa buat laporan kepada PPD setelah pihak sekolah meminta sumbangan RM5 bagi tujuan mengecat bangunan sekolah.

Luahan cikgu ini tular dan mendapat ribuan komen daripada warganet, berita penuh boleh dibaca melalui link ini https://www.gpsbestari.com/artikel/inilah-kisahku/hanya-minta-rm5-untuk-cat-sekolah-ibu-bapa-lapor-ppd-guru-ini-berang-1.921906