KEMAMAN – Bilik sukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik yang berusia 20 tahun dan sangat daif berubah wajah apabila ia dibaik pulih oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Gurunya (PIBG), Jumali Mamat dengan kos perbelanjaan sebanyak RM15,000.

Dari sebuah bilik berdinding papan yang berlubang dan reput, ia bertukar menjadi sebuah bilik berdinding konkrit yang selesa dan tampak mewah.

Adun Kemasik, Ir Rosli Othman berkata, projek naik taraf kemudahan bilik sukan hasil ilham Jumali itu dapat membantu guru bertugas lebih selesa dan menjadi penyuntik motivasi kepada pelajar mempamerkan aksi sukan yang cemerlang.

“Dengan adanya bilik sukan berwajah baru ini, kita harap dalam tempoh dua tiga tahun akan datang, SMK Badrul Alam Shah dapat melahirkan atlet terbilang seperti atlet kelahiran Melaka, Khairul Hafiz Jantan yang mencipta rekod baharu kebangsaan acara 100 meter pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

“Sukan beri ruang kepada anak-anak kita tonjolkan kelebihan diri dan bermain mengikut minat masing-masing. Bagi yang suka bola, mereka main bola. Penglibatan dalam sukan
ini juga buka minda mereka dan mengelakkan terjerumus budaya tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Bilik Sukan dan pelancaran Program Memperkasakan Auditan Akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) SMK Badrul Alam Shah pada Ahad lalu.

Kerja-kerja naik taraf bilik sukan itu mula dilakukan pada April lalu dan siap dalam tempoh cuma 15 hari sahaja.

Jumali (dua, kiri) memberi penerangan mengenai kejayaan yang diraih pelajar SMK Badrul Alam Shah dalam kegiatan sukan.


Yakin lahir atlet sukan berbakat

Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin yakin kewujudan bilik sukan yang diberi sentuhan baharu itu dapat menjadi titik lonjakan kepada kejayaan sekolah berkenaan dalam kegiatan sukan.

“Saya lihat pelajar sekolah ini memang berpotensi maju dalam kegiatan kesukanan. Jadi saya berterima kasih kepada PIBG kerana sangat cakna hingga pelajar dapat menikmati kemudahan bilik sukan selesa sekali gus membantu sekolah lahirkan seramai mungkin atlet berbakat,” katanya.

Dalam pada itu, Jumali berkata, bilik sukan melambangkan imej sekolah, justeru beliau terpanggil untuk menaiktaraf kemudahan itu supaya dapat meningkatkan imej sekolah di mata masyarakat seterusnya menjadi perangsang kepada pelajar mencipta kejayaan berterusan dalam kegiatan sukan.

“Bilik sukan menjadi tempat untuk pupuk semangat pelajar, kalau bilik sukan tak hebat, macam mana pelajar nak beraksi hebat di padang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dalam tempoh beberapa tahun akan datang sesiapapun yang menyandang jawatan YDP PIBG sekolah itu akan meneruskan legasi mengutamakan kemudahan untuk pelajar dan sekolah supaya kecemerlangan sekolah dalam apa juga bidang dapat terus dipertingkatkan.

Rosli (empat, kiri) diiringi Idris (tiga, kiri), Jumali (empat, kanan) dan Md Nazeri (tiga, kanan) menyempurnakan majlis perasmian.

Sokongan cakna PIBG

Pengetua SMK Badrul Alam Shah, Md Nazeri Hassan berkata, kemudahan bilik sukan serba selesa itu dapat membantu membangunkan pelajar dalam sukan dan bakat sedia ada yang sudah digilap pula dapat terus dikembangkan lagi.

“Baru-baru ini kita telah dinobatkan sebagai naib juara Kejohanan Balapan dan Padang Peringkat Daerah Kemaman dan bagi tahun depan kita sasarkan untuk muncul juara pula. Sasaran yang diletakkan itu insya-Allah dapat dicapai kerana kita dapat sokongan padu daripada PIBG sendiri yang sangat cakna.

“Jumali adalah bekas pelajar sekolah ini dan kalau ada perkhemahan beliau adalah ketua kadet polis daerah," katanya.

Kata Md Nazeri, walaupun sudah tinggalkan alam sekolah beliau masih berbakti kepada sekolah kerana selain menjadi YDP PIBG, beliau juga merupakan jurulatih bola sepak sekolah.

Kerja naik taraf bilik sukan ini siap dalam tempoh cuma 15 hari


Sebelum perasmian bilik sukan, Rosli turut menyampaikan anugerah pelajar SPM dan STPM.