KUALA LIPIS - Ibu bapa perlu memahami peranan dan matlamat jelas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu kemajuan sekolah dan pelajar.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, penubuhan PIBG diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1961, menjadi persatuan penting yang mempunyai tanggungjawab tertentu selari matlamat pendidikan berteraskan pembangunan modal insan.

Menurutnya, keahlian PIBG menggambarkan ibu bapa dan guru harus saling berinteraksi untuk berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai kemajuan sekolah prestasi akademik, disiplin, sahsiah dan akhlak pelajar.

“Barisan ahli jawatankuasa yang komited di samping mewajarkan setiap kegiatan bermanfaat untuk pelajar dan sekolah.

“Peranan ini selari dengan Falsafah Pendidikan Negara (FDN) dan Dasar Pendidikan Negara (DPN) termasuk menerapkan Gagasan 1Malaysia dan Pelan Integriti Nasional (PIN),” katanya ketiak ditemui pada sambutan Hari Guru 2016 peringkat daerah, di sini kelmarin.

Abdul Rahman berkata, ibu bapa perlu menjadikan PIBG sebagai saluran terbaik untuk berbincang dan menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul berkaitan pembelajaran anak mereka.

Beliau juga menyarankan guru menitipkan falsafah pendidikan tokoh Islam tersohor, iaitu Imam Al Ghazali, Ibnu Khaldun dan lainnya bagi melakarkan akhlak pelajar serta jati diri berteraskan nilai kasih sayang dan menghormati satu sama lain.

“Falsafah tokoh ini mengandungi inti pati pendidikan Islam yang dapat menguatkan iman dan akidah pelajar ketika berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Sementara itu, bekas Guru Pendidikan Islam, Habibah Mat Amin, 66, dianugerahi Tokoh Guru Lipis tahun ini.

Manakala, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Mustama Wan Abdul Hayat, 65, dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Guru peringkat daerah.