PADANG SERAI - Lebih 500 ibu bapa dan guru terlibat dalam Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Lela Pahlawan di sekolah berkenaan di sini, kelmarin.

Pengetuanya, Puzer Muhamad berkata, PIBG penting dalam usaha merapatkan lagi ibu bapa dan sekolah untuk membantu pendidikan pelajar.

“Saya harap PIBG dapat jadi medium untuk mendekatkan lagi pihak sekolah dengan komuniti setempat bagi bersama-sama membantu anak-anak dalam pelajaran.

“Sokongan dan sumbangan PIBG di sekolah ini dari segi material mahupun idea yang bernas merupakan nadi penggerak dalam semua aktiviti pendidikan dan pembangunan prasarana sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Yang DiPertua PIBG, Harun Hashim berkata, mereka akan mengambil tanggungjawab secara langsung untuk menggilap kecemerlangan pelajar dan memperkasakan sekolah.

“Sebuah sekolah yang mencapai kejayaan yang melebihi sasaran dalam bidang akademik dan kokurikulum sebenarnya disokong oleh kemantapan PIBG.

“Jadi kita harap sangat persatuan ini dapat bagi idea bernas supaya kita dapat tingkatkan prestasi akademik sekolah ini,” katanya.