MACHANG - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM6,000 pada program makan malam amal, Malam Tautan Budi, di sini, baru-baru ini.

Program yang diadakan di Dewan Sri Permata, SK Tok Bok itu dijayakan kakitangan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di jajahan ini, selain guru-guru dan ahli jawatankuasa PIBG.

Guru Besar SK Tok Bok, Hanisah Mat Ali berkata, program makan malam yang julung kali diadakan itu bertujuan mengumpul dana PIBG bagi menjayakan program pembangunan dan peningkatan kecemerlangan murid.

Katanya, pihaknya bersyukur usaha tersebut membuahkan kejayaan yang baik dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang, sekalipun beliau akan bersara akhir bulan ini.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menjayakan makan malam amal ini dan berharap ia memberi manfaat kepada semua terutamanya anak-anak SK Tok Bok.

“Hubungan baik antara guru, masyarakat dan ibu bapa harus diperkukuhkan pada masa akan datang bagi sama-sama berganding bahu membina kejayaan yang lebih baik,” katanya ketika berucap sempena majlis itu.

Majlis dirasmikan Pegawai Pendidikan Daerah Machang, Abdullah Mat. Hadir sama Yang Dipertua PIBG SK Tok Bok, Ahmad Tarmizi Ismail dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Nordin Ahmad.

Hanisah berkata, sekalipun tersenarai sebagai sekolah baharu di jajahan ini, SK Tok Bok menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berharap kecemerlangan itu akan diteruskan malah ditingkatkan pada masa akan [email protected] datang.