Masih ramai yang tidak menyedari kepentingan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Segelintir pihak menganggapnya sebagai hal remeh malah ada antaranya gagal menghadirkan diri kerana sibuk dengan kerjaya dan hal peribadi masing-masing.

Sebagai ibu bapa, mereka sepatutnya berusaha untuk hadir ke mesyuarat PIBG kerana di sinilah tempat paling tepat untuk mendapatkan apa jua maklumat berkaitan pencapaian akademik anak-anak dan apakah usaha dilakukan pihak sekolah dalam memacu kecemerlangan para pelajarnya.

"Terus terang saya katakan, penglibatan dan penerimaan ibu bapa terhadap PIBG SMK Taman Tun Dr Ismail masih boleh diperbaiki lagi. Sebagai contoh, setiap kali mesyuarat diadakan, hanya dalam 10 peratus kehadiran ibu bapa semasa mesyuarat.

Oleh itu, jawatankuasa tahun ini sedang merangka perancangan untuk memastikan lebih ramai ibu bapa yang akan hadir semasa mesyuarat akan datang.

"Kebanyakan ibu bapa rata-rata tidak tahu fungsi PIBG dan kepentingan mesyuarat. Jadi, kami telah mewujudkan Biro Komunikasi dalam mengukuhkan saluran maklumat antara ibu bapa dan sekolah. Buat masa ini banyak sokongan diberi melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB).

Apabila sesuatu projek itu dirancang, kami akan cuba mendapatkan bantuan dari KSIB dan melibatkan seberapa ramai ibu bapa yang boleh membantu," kata Yang Dipertua PIBG sesi 2016/2017, Mafiz Seth, 40.

Walaupun kehadiran ibu bapa yang kurang memuaskan, PIBG SMK TTDI tetap gah dalam dunianya yang tersendiri.

"Tahun ini adalah kali ke-36 sekolah mengadakan mesyuarat agung PIBG sejak ditubuhkan pada 1980. Ini pencapaian yang harus kita banggakan," katanya.

Aktiviti

"Setiap biro akan menjalankan tugas masing-masing dalam melaksanakan program yang dirancang. Misalnya, pihak PIBG menganjurkan program berbentuk pendedahan kerjaya untuk membantu pelajar memilih kerjaya yang sesuai.

"Dengan kerjasama alumni, kami telah menjalankan beberapa aktiviti pendedahan kerjaya. Ini termasuk membawa pelajar ke pejabat korporat seperti Google, IBM Malaysia dan Celcom Axiata. Mereka dapat melihat sendiri fungsi kerjaya profesional dan berinteraksi dengan pegawai-pegawai korporat.

Selain itu, kami sentiasa bersama pihak sekolah dalam melaksanakan program yang dianjurkan oleh mereka. Sokongan diberikan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi termasuk tenaga kerja dan idea untuk penambahbaikan," kata Mafiz.

Mengenai pelantikan beliau sebagai YDP, Mafiz berkata, ini adalah tahun pertama dirinya memegang jawatan sebagai YDP. Pengalaman semasa menjadi AJK PIBG banyak membantu dalam memberi pendedahan kepada fungsi dan matlamat PIBG.

"Saya sendiri merupakan alumni SMKTTDI. Sebagai alumni, semangat untuk melihat kejayaan sekolah begitu kuat sekali. Lebih-lebih lagi ayah saya sendiri pernah menjadi YDP sebelum ini.

"Secara peribadi, cabaran utama yang perlu dilalui adalah pembahagian masa bagi tugasan pejabat sebagai  konsultan dalam industri telekomunikasi, tanggungjawab kepada keluarga dan juga sebagai YDP PIBG. Pada waktu sama, saya juga sedang melanjutkan pelajaran peringkat master di Strathclyde University di Kuala Lumpur.

"Walau bagaimanapun, saya yakin jawatankuasa PIBG yang ada pada hari ini berkebolehan tinggi dan mempunyai semangat kerjasama yang kuat dalam melaksanakan aktiviti yang dirancang.

Dengan niat untuk melihat kejayaan anak-anak di sekolah, apa jua cabaran yang dihadapi sebenarnya boleh diatasi. Bagi saya, semua orang boleh berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.

Tetapi jika kita boleh berjaya dalam bidang kerjaya sambil melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti PIBG, itu sebenarnya yang membezakan kita dengan yang lain," ujar beliau yang berharap ibu bapa dan pihak sekolah dapat mengukuhkan lagi kerjasama sesama mereka dalam pelbagai aspek.