TANAH MERAH - “Setiap tahun kami terima, cuma tahun ini paling besar,” kata seorang Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dua sekolah di Kemahang, dekat sini, mengenai sumbangan diterima daripada Umno Bahagian Tanah Merah.

YDP PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemahang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kemahang 1, Shapie Hamat berkata, jumlah RM5,000 kali ini paling banyak pernah diterima kerana sumbangan paling tinggi sebelum ini berjumlah RM2,000.

Menurutnya, sebelum ini, sumbangan tahunan biasanya diumumkan oleh Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika hadir merasmikan mesyuarat PIBG dua sekolah berkenaan.

“Tetapi untuk tahun ini, bukan sahaja jumlah sumbangan paling banyak malah penyampaian sumbangan diadakan dalam satu majlis rasmi,” katanya, kelmarin.

Shapie sebelum itu menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah.

Shapie memberitahu, sumbangan itu akan digunakan untuk program kecemerlangan pelajar dua sekolah berkenaan seperti kelas tambahan dan program motivasi.

“Terima kasih terutama kepada Datuk (Ikmal Hisham) kerana berterusan membantu PIBG dalam agenda memajukan pendidikan di parlimen ini,” katanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, pihaknya memperuntukkan sejumlah RM180,000 bagi mengisi dana PIBG di semua 36 sekolah rendah dan menengah seluruh parlimen ini.

Katanya, sumbangan itu sebagai komitmen pihaknya dalam membantu meningkatkan pembangunan pendidikan rakyat Tanah Merah.

“Ini kali pertama kita beri sumbangan kepada PIBG sekolah di seluruh parlimen ini dalam usaha membantu persatuan menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kecemerlangan
akademik sekolah masing-masing,” katanya.

Tambahnya, selain sumbangan untuk PIBG, Umno Bahagian Tanah Merah turut mengagihkan sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar di parlimen ini setiap kali sesi baharu
persekolahan dibuka.

“Untuk sesi persekolahan tahun ini, kita agih pakaian sekolah secara percuma kepada hampir 28,000 pelajar di seluruh Parlimen Tanah Merah,” jelas Ikmal Hisham.