BAHAU - PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahau di sini, terus mendekati pelajarnya dengan berkunjung ke kediaman mereka yang tinggal di kawasan ladang.

Terbaharu, pihak berkenaan berkunjung ke Ladang Sungai Sebaling, Bahau bagi mengadakan pertemuan bersama pelajar itu selain dapat berkongsi maklumat berkaitan.
Menurut timbalan yang dipertuanya, K Murthy, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya mengetahui permasalahan dihadapi pelajar  itu terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan jauh.

“Kita akui mungkin mereka mempunyai masalah pengangkutan, namun kebanyakan pelajar di kawasan ladang ini terutamanya ibu bapa tidak lepaskan peluang untuk anak-anaknya
mendapatkan pendidikan di sekolah menengah.

“Kaedah turun padang ini, lebih proaktif kerana dapat bertemu dengan ibu bapa pelajar selain dapat memberikan ceramah motivasi,” katanya.

Hadir sama, pengetua sekolah, Abdul Rahop Zakaria.

Murthy berkata, pihaknya turut menasihatkan pelajar berkenaan bahawa pembelajaran di sekolah adalah penting untuk mengubah nasib keluarga.

“Jadi janganlah mensia-siakan peluang yang ada, walau sesukar manapun perjalanan dan dugaan jangan putus asa.

“Jadikan ia pembakar semangat supaya titik peluh ibu bapa yang bekerja di ladang dihargai,” katanya.